malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
KJ ada bayangan sasaran pingat Sukan SEA 2017
Diterbitkan:  Jul 13, 2017 5:49 PM
Dikemaskini: 9:52 AM
ADS

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengesahkan sudah mempunyai jumlah pingat yang disasarkan untuk kontingen negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos ini.

Katanya beliau telah menerima laporan daripada semua persatuan sukan, sekali gus memberi bayangan kepadanya akan jumlah pingat yang perlu diraih Malaysia untuk bergelar juara keseluruhan temasya dwitahunan itu.

“Saya ada sasaran jumlah pingat, cuma tunggu masa yang sesuai untuk diumumkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran platform digital KL2017, di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas sasaran 100 pingat emas yang diumumkan oleh juara bertahan Thailand, Khairy berkata Malaysia melihat angka itu sebagai satu motivasi yang tinggi untuk kontingen negara.

"Mereka (Thailand) memberi cabaran dengan menyatakan hasrat untuk mencapai 100 pingat emas dan kita akan hadapinya dan ia merupakan satu cabaran yang menarik untuk disaksikan pada Sukan SEA nanti," katanya.

Sementara itu, Khairy menjelaskan sebarang perlawanan persahabatan membabitkan skuad polo negara yang akan beraksi di Sukan SEA hanya boleh ditentukan oleh badan induk sukan itu.

Khairy ditanya mengenai permintaan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mencadangkan skuad polo negara mengadakan perlawanan persahabatan bersama pasukan Royal Johor Polo Club yang turut disertai oleh Tunku Ismail sendiri.

Sebelum ini Khairy berserta enam lagi pemain telah dinamakan sebagai atlet polo dan terpilih untuk menjalani latihan fasa akhir di Pekan, Pahang.

Khairy juga menekankan aspek pengurusan masa sebagai kunci utama bagi dirinya dalam persediaan menghadapi Sukan SEA, Ogos nanti.

"Setiap orang dalam pasukan (polo) sedang berusaha keras untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan," katanya.

-Bernama

Lihat Komen