malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Bekas jaguh pecut negara Tan Sri Dr M Jegathesan mencabar atlet pecut negara untuk memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 200 meter yang dipegangnya selama 49 tahun pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

'The Flying Doctor' ini berkata KL2017 merupakan pentas terbaik bagi atlet pecut negara meleburkan catatan 20.92 saat yang diciptanya pada Olimpik Mexico 1968.

"Saya mahu lihat rekod (200 meter) yang sudah bertahan terlalu lama itu dipecahkan. Bagi saya Sukan SEA Kuala Lumpur adalah masa yang tepat dan ia ibarat mimpi menjadi kenyataan jika rekod tersebut dapat diperbaharui Ogos ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata barisan atlet pecut kebangsaan di bawah bimbingan jurulatih Mohd Poad Md Kassim mempunyai kemampuan tersendiri dan berpotensi besar untuk meraih kejayaan pada KL2017 sekali gus menamatkan penguasaan negara luar dalam acara berkenaan.

"Saya sentiasa mengikuti perkembangan sukan olahraga negara dan saya tahu ada sekumpulan atlet pecut lelaki dan wanita yang mempunyai kelebihan dan kemampuan istimewa untuk kembali mengangkat nama Malaysia dalam sukan olahraga," katanya.

Pelari negara Badrul Hisham Abdul Manap sebelum ini hampir memadamkan rekod tersebut selepas mencatat kepantasan 20.88 saat sewaktu menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Unimap Edisi Keempat pada Oktober 2015 tetapi ia tidak disahkan akibat bantuan angin.

Berdasarkan prestasi terkini, pelari terpantas negara Khairul Hafiz Jantan yang mencatat 10.18 saat dalam acara 100 meter pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016 dan G. Aravinn Thevarr adalah antara nama yang disebut-sebut bakal menggalas cabaran negara dalam acara ‘riben biru’ itu pada KL2017.

Olahragawan Kebangsaan 1966 itu seterusnya berkata mentaliti seorang pemenang adalah elemen penting yang perlu diterapkan dalam diri atlet menjelang KL2017 selepas segala latihan dan persediaan yang dibuat mereka.

"Apa yang penting sekarang adalah atlet perlu memiliki pemikiran sebagai seorang pemenang. Lengkapkan diri dengan keyakinan dan kepercayaan yang dia adalah seorang juara,” tegas beliau.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara pecut pada temasya dwitahunan itu adalah pada edisi 2003 di Vietnam menerusi bekas raja pecut negara Nazmizan Muhammad yang cemerlang merangkul emas berganda dalam acara 100m dan 200m.

-Bernama

Lihat Komen