malaysiakini logo
story-image
ADS

Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee, terus meletakkan harapan agar pemain muda Pulau Pinang dan Pahang hadir ke kem latihan pusat menjelang perlawanan persahabatan menentang Myanmar Khamis ini.

Katanya, tiga pemain skuad Harimau Kumbang dan dua pemain Tok Gajah tetap dinanti-nanti dan diharap dapat melaporkan diri esok.

"Mereka ini merupakan pemain utama kita, dah tentu ini satu kerugian besar (kalau tidak hadir) dan saya dah kata, ini masalah pasukan dan juga masalah negara.

"Terpulang kepada mereka, tetapi saya mengharapkan mereka akan hadir esok untuk bersama-sama pemain lain.

"Mereka telah bersama begitu lama kita perlu menyediakan pasukan lebih baik," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Skuad Projek Sukan SEA 2017 itu juga sedang melakukan persiapan untuk menghadapi kejohanan kelayakan Piala AFC 2018 di Bangkok, Thailand dari 19 hingga 23 Julai ini.

Mereka kemudian akan menggalas tugas negara menghadapi temasya Sukan SEA 2017 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, Ogos depan.

Ujian hebat

Terdahulu, Kim Swee menerima ujian hebat apabila hanya enam pemain melaporkan diri ke kem latihan Skaud B-22 yang bermula pada 5 Julai lalu.

Pengurusan pasukan Pulau Pinang dan Pahang antara pasukan yang enggan melepaskan pemain mereka yang kini diperlukan untuk menghadapi perlawanan liga Malaysia.

Mengulas lanjut persediaan pasukan negara, bekas jurulatih kebangsaan itu berkata, setakat ini seramai 15 orang pelatih sudah hadir, termasuk lapan yang muncul pada hari ini.

Bagaimanapun menurutnya, empat daripada mereka tidak dapat menjalani latihan kerana mengalami kecederaan, malah berisiko dihantar pulang.

"Saya akan membuat keputusan sama ada mereka akan kekal atau dihantar pulang esok. Ia bergantung kepada laporan doktor.

"Perkara ini penting untuk saya menyenaraikan pemain-pemain lain jika mereka tak dapat beraksi," jelasnya yang jelas bimbang kecederaan dialami terutamanya Syahmi Safari (Selangor), Ahmad Khairil Anuar (Perak) dan Arif Fadzilah Abu Bakar (T-Team).

 

Sementara itu, memberi reaksi persediaan pasukan Myanmar, Kim Swee berkata, lawan mereka itu pasti sudah melakukan persediaan terbaik sebelum terbang ke Kuala Lumpur.

"Setiap kali perlawanan persahabatan antara kita mahu pun negara lain, dah tentu kita akan bersiap sedia dengan baik. Saya jangka Myanmar mempunyai persediaan yang cukup rapi.

"Mereka melalui perlawanan di Kejohanan KPZ di Myanmar, mereka beraksi dengan pasukan Hong Kong dan Kemboja B-22.

"Mereka amat serius dan kita masih bergelut dengan beberapa isu, dan saya harap esok kita dapat mengumpulkan pemain untuk menentang Myanmar dan mustahak pemain harus cergas walaupun kita tahu mereka melalui banyak perlawanan liga," katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

Lihat Komen