malaysiakini logo
story-image
ADS

Berdasarkan persediaan dan prestasi semasa barisan atlet olahraga negara, Malaysia mampu meraih sekurang-kurangnya 10 pingat emas dalam acara itu pada temasya Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur, bulan depan.

Keyakinan itu disuarakan oleh bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad yang optimis dengan kemampuan atlet-atlet negara untuk mencapai kecemerlangan pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dari 19 hingga 30 Ogos ini.

Pemenang pingat emas acara 100m dan 200m Sukan SEA Vietnam pada 2003 itu berkata ia berdasarkan perbandingan prestasi semasa atlet negara dengan pencabar dari negara lain dalam acara yang disertai.

“Dengan kemampuan atlet seperti Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Jackie Wong (baling tukul besi lelaki), Grace Wong Xiu Wei (baling tukul besi wanita) dan Zaidatul Husniah Zulkifli (100m wanita) memecahkan rekod kebangsaan tahun ini, tidak mustahil mereka boleh menyumbang emas kepada kontinjen negara.

“Prestasi konsisten ditunjukkan atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei, atlet lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail dan atlet lompat jauh, Luqman Hakim Ramlan juga memberi bayangan mereka mampu menambah kilauan emas,” katanya kepada Bernama.

Nazmizan, yang kini bertugas sebagai timbalan pengarah di Ppusat Sukan Universiti Malaysia Perlis, turut melaungkan keyakinan bahawa kemunculan semula jaguh jalan kaki negara, Yuan Yu Fang di pentas Sukan SEA selepas kali terakhir beraksi pada temasya sama di Vientiane, Laos lapan tahun lalu. mampu menambah bilangan pingat emas.

“Dengan pengalaman dan keazaman dimiliki Yu Fang, tidak mustahil kejuaraan akan berada dalam genggamannya sekali gus merekodkan pencapaian pingat emas Sukan SEA kelapan sepanjang karier beliau dalam acara kegemarannya itu,” katanya.

Mengulas mengenai peluang dalam acara pecut, Nazmizan berkata jaguh pecut sensasi negara, Khairul Hafiz Jantan perlu lebih konsisten jika mahu merangkul pingat emas dalam acara 100m dan 200m, sekali gus bergelar Raja Pecut Asia Tenggara.

Katanya, selepas meleburkan rekod kebangsaan dengan catatan 10.18s, mengatasi catatan 10.30s milik Watson Nyambek, 18 tahun lalu, pada Sukan Malaysia (Sukma) di Kuching, tahun lepas, catatan masa Khairul Hafiz dalam acara 100m tidak begitu memberangsangkan.

“ Beliau perlu memanfaatkan masa yang ada untuk memperbaiki catatan dan seterusnya berada pada tahap terbaik,” katanya.

Nazmizan berkata skuad olahraga secara keseluruhannya mempunyai tanggungjawab yang cukup besar dalam membantu merealisasikan hasrat kontinjen negara muncul juara keseluruhan Sukan SEA di laman sendiri.

Katanya, secara tradisi, acara olahraga sentiasa menjadi tumpuan kerana ia merupakan lubuk emas menerusi 46 pingat emas yang ditawarkan pada temasya dwitahunan itu kali ini.

“Jika kita mahu ulangi pencapaian gemilang muncul juara keseluruhan di laman sendiri seperti Sukan SEA 2001, skuad olahraga perlu memainkan peranan mereka mengutip seberapa banyak emas yang dipertandingkan sekali gus menebus kehampaan prestasi buruk dicatatkan pada Sukan SEA Singapura dua tahun lalu,” kata Nazmizan.

-Bernama

Lihat Komen