malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Penyertaan KJ penghormataan buat skuad polo
Diterbitkan:  Jul 9, 2017 11:23 PM
Dikemaskini: 3:26 PM
ADS

Penyertaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam pasukan polo negara, dianggap sebagai satu penghormatan dan pembakar semangat pada temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Pengurus pasukan, Datuk Mohamad Zekri Ibrahim berkata seperti mana atlet lain, Khairy tidak diberi keistimewaan sebaliknya perlu melalui proses pemilihan yang ketat sebelum terpilih.

Selain itu, beliau berkata perwatakan anggota Parlimen Rembau itu yang tegas dan berdisiplin itu dapat membantu pasukan dari segi moral dan semangat sepasukan.

"Beliau telah lama bermain polo dan terlibat dalam perlawanan antarabangsa sebelum menjadi menteri. Beliau juga telah menunjukkan komitmen tinggi untuk turut sama menjalani latihan di Pekan, Pahang.

"Pada minggu ini, beliau telah bermain dua kali dalam kejohanan Terbuka Malaysia dan kita lihat tahap kecerdasan dan prestasi beliau, membolehkan beliau berada dalam pasukan untuk Sukan SEA kali ini," katanya ketika ditemui selepas majlis undian acara sukan sempena Sukan SEA ke-29 di ibu negara.

Sementara itu, Mohamad Zekri berkata pihaknya berpuas hati dengan undian yang dijalankan dan yakin pasukannya mampu mempertahankan pingat emas yang dimenangi Malaysia pada edisi 2007.

Katanya, skuad polo negara telah menjalani latihan yang komprehensif sejak tahun lepas di bawah bimbingan jurulatih dari Argentina, Federico Bachmann, dengan menyertai beberapa kejohanan antarabangsa dan tempatan di samping latihan di Pattaya, Thailand.

"Kami juga telah memanggil ‘horse master’ yang mempunyai pengalaman luar dari segi pengendalian kuda-kuda kerana sukan polo ini memerlukan persiapan rapi untuk kuda kerana kuda memainkan peranan besar iaitu 70 hingga 80 peratus bergantung kepada kuda," katanya.

Ditanya mengenai pencabar terdekat, Mohamad Zekri berkata Malaysia perlu memberi perhatian kepada pasukan Thailand yang mempunyai beberapa pemain yang mendapat pendedahan di luar negara.


-Bernama

Lihat Komen