malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
'FAM tiada kuasa'
Diterbitkan:  Jul 7, 2017 10:05 PM
Dikemaskini: 2:12 PM
ADS

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap mana-mana pasukan yang enggan melepaskan pemain mereka bagi menyertai latihan pusat skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan hal ini kerana pusingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018 dari 19 hingga 23 Julai ini di Thailand yang melibatkan skuad berkenaan, tidak disenaraikan dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Beliau, bagaimanapun memaklumkan beberapa pasukan bersetuju melepaskan pemain masing-masing selewat-lewatnya 12 Julai ini, kecuali Pahang dan Pulau Pinang yang masih belum memberi sebarang kata putus berhubung perkara berkenaan.

“Setakat hari ini, kita menerima pengesahan berserta surat rasmi daripada beberapa pasukan untuk melepaskan pemain mereka pada 12 Julai ini untuk menyertai kem latihan pusat kecuali Pahang dan Pulau Pinang,” katanya.

Hamidin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau sesi latihan skuad wanita kebangsaan yang akan beraksi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, di Kuala Lumpur, hari ini.

Sehubungan itu, Hamidin menasihatkan pasukan yang terlibat dengan panggilan pemain mereka ke latihan pusat skuad kebangsaan supaya mengutamakan kepentingan negara berbanding negeri mahupun kelab masing-masing.

“Saya kira semua pihak yang terlibat perlu menyedari dan memahami bagaimana perlunya pemain-pemain terbaik ini melaporkan diri apabila dipanggil menggalas tugas negara,” jelasnya.

Pengendali skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, sebelum ini melahirkan kebimbangan selepas hanya enam daripada 26 pemain melaporkan diri pada hari pertama latihan pusat skuad berkenaan, Rabu lepas.

Jumlah itu berkurangan kepada dua pemain semalam, selepas empat pemain dilaporkan kembali ke pangkuan masing-masing bagi menghadapi saingan Piala Malaysia.

Pasukan B-22 negara yang turut dikenali sebagai skuad Projek Sukan SEA bakal menguji skuad B-22  Myanmar pada aksi persahabatan, 13 Julai ini sebelum berlepas ke Thailand bagi menyertai pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 2018.

-Bernama

Lihat Komen