Hasrat Malaysia jadi juara tak kesampaian


(Dikemaskini )

BOLA KERANJANG | Selangkah lagi untuk pasukan lelaki kebangsaan melengkapkan kejohanan MABA antarabangsa jemputan dengan empat kemenangan berturut-turut, namun hasrat pasukan negara sekali lagi tidak kesampaian apabila gagal mengalahkan pasukan Australia dalam perlawanan final.

Skuad Malaysia yang sebelum ini mengalahkan Australia ACBA Dragons dalam perlawanan sengit, terpaksa akur kepada pihak lawan dengan keputusan 59-63.

Tiada masa tambahan dalam perlawanan final in dan banyak kesilapan awal merugikan skuad kebangsaan. Bagaimanapun, keseluruhan prestasi pasukan kebangsaan lelaki jauh lebih baik daripada prestasi ketika di SEABA bulan lalu.

Ketua jurulatih Goh Cheng Huat, berpendapat latihan selama beberapa bulan lalu menampakkan hasil kali ini.

Goh juga menyatakan prestasi skuad kebangsaan sudah mencapai 70 hingga 80 peratus setakat ini apabila mereka berjaya mengikut rentak perlawanan yang pantas serta gaya dan serangan berlainan.

"Kita seharusnya tahu strategi mana yang perlu digunakan untuk menyaingi pihak lawan. Nak ikut tempo mereka atau kita sendiri yang tetapkan tempo dalam gelanggang," kata Goh.

Soo Eng Heng, 33 tahun, antara pemain veteran Malaysia menjadi penjaring terbaik dengan 13 mata manakala Teo Kok Hou menjaringkan 10 mata.

Pasukan Malaysia sukar mencari mata awal perlawanan dalam suku pertama dan Australia mudah mendahului dalam lima minit pertama dan menjaringkan 5 mata, 0-5.

Tidak lama kemudian, pasukan kebangsaan mula mengorak langkah dan memungut mata awal daripada jaringan penalti.

Selepas tujuh minit perlawanan, Teo Kok Hou akhirnya mendapat jaringan selepas tujuh percubaan dan seterusnya oleh pemain veteran Chee Li Wei dan Soo Eng Heng yang mendapat jaringan tiga mata. Suku pertama berakhir dengan kelebihan empat mata, 14-10.

Dalam suku kedua pula, masalah turnover mula merebak dalam gelanggang Malaysia tetapi mereka masih dapat mengekalkan penguasaan dalam perlawanan.

Pada minit terakhir sebelum separuh masa pertama berakhir, Brown Darnell dari Australia mengikat mata 25-25 melalui jaringan jump shot. Sampailah saat akhir sebelum wisel penamat suku kedua cubaan Darnell dengan jaringan tiga mata berhasil dan mendahului Malaysia sebanyak empat mata, 25-29.

Tidak lagi dibelenggu dengan 'sumpah' lama dalam suku ketiga, Malaysia kembali menggamit suasana stadium dan merampas kembali penguasaan perlawanan hasil jaringan tiga mata daripada Wong Yi Hou, Soo Eng Heng dan Ting Chun Hong.

Walaupun ketinggalan sebanyak enam mata pada pertengahan suku ketiga 30-36, Malaysia mengakhiri suku ketiga dengan kelebihan tujuh mata selepas Teo Kok Hou menamatkan tujuh saat akhir dengan jump shot, 51-44.

Diduga sejak awal, Australia tidak mudah mengalah dan cuba menyerang kembali dalam suku keempat. Pemain utama mereka Darnell menjaringkan lima mata hasil jump shot dan jaringan tiga mata dan mengikat mata pada 51-51 seawal minit ketiga suku keempat.

Suasana stadium semakin riuh ketika Malaysia cuba mengawal keadaan dan jaringan Chee Li Wei mengembalikan pasukan negara di hadapan Australia sekali lagi pada lima minit akhir, 57-51.

Kedua-dua pasukan berhempas pulas sehinggalah minit terakhir, masih terikat pada 59-59 selepas Jed Atherton mendapat jaringan jump shot. Peluang Malaysia untuk cuba menamatkan perlawanan ini tidak kesampaian, dan Darnell mendapat empat mata hasil jaringan penalti.

"Kita dedahkan kelebihan pasukan kita semalam untuk mendapatkan jaringan luar perimeter. Mereka (Australia) mempunyai pemain yang bersaiz besar dan sukar untuk kita menembusi pertahanan dalam untuk mendapat jaringan.

"Saya harap kita dapat seimbangkan kekuatan kita untuk pemain tengah seiring dengan penjaring luar garisan. Banyak lagi yang kita perlu usahakan dan untuk masa ini, hanya beberapa pemain lagi untuk kita lengkapkan untuk barisan pasukan kebangsaan di Sukan SEA kelak," ujar Goh.

Berikut adalah kedudukan akhir kejohanan ini untuk kategori lelaki:

1. Australia ACBA Dragons
2. Malaysia
3. National Taiwan Normal University
4. Chung Chou Science and Technology University, Taiwan


Artikel berkaitan

Share