malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Wanita Malaysia ungguli kejohanan jemputan Maba
ADS

BOLA KERANJANG | Berakhirnya temasya jemputan antarabangsa Maba minggu ini menyaksikan prestasi baik pasukan kebangsaan wanita negara mengalahkan semua pasukan yang terbabit.

Selepas latihan intensif di Jepun dan Australia bulan lalu, skuad wanita tampak lebih agresif dan pantas dalam perlawanan yang diadakan di Stadium MABA yang baru diubahsuai sempena Sukan SEA pada bulan Ogos nanti.

Pasukan itu mengungguli perlawanan akhir dengan menundukkan Taiwan Nanshan High School dengan perbezaan 10 mata, 73-63.

Chong Yin Yin menjaringkan mata terbanyak untuk Malaysia dengan 20 mata, 4 rebound dan 3 steal manakala Yap Fook Yee mendapat 10 mata dan 5 rebound

"Saya memberikan yang terbaik dalam kejohanan ini bersama rakan sepasukan yang lain.

"Banyak lagi yang kami perlu perbaiki terutamanya kelemahan mendapatkan rebound sebelum Sukan SEA bermula," kata Chong Yin Yin kepada media selepas perlawanan berlangsung.

Taiwan Nanshan High School yang kalah dalam semua perlawanan memberikan saingan yang sengit kepada Malaysia dari awal perlawanan.

Jurulatih Yoong Sze Yuin inginkan pemain muda dalam pasukannya berdepan pemain Nanshan yang cuba mendapatkan kemenangan pertama.

Pada pertengahan akhir suku pertama, Yoong meletakkan pemain senior kembali dalam gelanggang untuk merapatkan mata.

Jaringan akhir daripada Nur Izzati Yaakob mengembalikan penguasaan Malaysia pada suku pertama, 21-20.

Dalam suku kedua pula, Wu Ming-jhen dari Nanshan menjaringkan lima mata awal dan mendahului Malaysia pada awalnya.

Namun Yap Fook Yee, Pang Hui Pin dan Saw Wei Yin masing-masing menjaringkan tiga mata, mengembalikan penguasaan Malaysia dan mengakhiri separuh masa pertama dengan kelebihan enam mata, 39-33.

Berbeza dengan separuh masa pertama, Malaysia mudah menguasai keseluruhan perlawanan mulai suku ketiga dan jauh meninggalkan Nanshan dengan 60-43.

Jaringan tiga mata berturut-turut daripada pasukan Malaysia sukar dibendung pihak lawan pada suku keempat membuatkan skuad negara mendahului Nanshan dengan mudah.

Walaupun mereka cuba untuk mengejar kembali jurang mata, Malaysia menamatkan perlawanan itu dengan 73-63.

"Untuk kejohanan ini, saya memang berhasrat menyediakan skuad negara untuk Sukan SEA.

"Selepas ini, kami akan bertolak ke Taiwan pada Julai untuk latihan intensif terakhir. Sebelum kejohanan yang diadakan di Kaohsiung, Taiwan kami akan berdepan tiga perlawanan awal.

"Pengajaran yang paling utama adalah untuk pemain kita sama ada mereka dapat berdepan beraksi di gelanggang sendiri, bersedia dari segi mental dan tekanan bermain di hadapan penonton Malaysia. Kita akan bersedia untuk Sukan SEA tetapi perlu kuatkan semangat lagi dalam keyakinan mereka," kata Yoong.

Berikut adalah keduudkan kategori wanita kejohanan kali ini:

  1. Malaysia
  2. China Shanghai
  3. Scotland
  4. Taiwan Fo Guang University
  5. Taiwan Nanshan High School
Lihat Komen