OCM mahu tajaan cukai bebas GST

(Dikemaskini )

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meminta kerajaan agar tidak mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terhadap tajaan dan sumbangan yang diberikan kepada persatuan sukan kebangsaan.

Presiden MOM Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar berkata, ia adalah demi kepentingan pembangunan sukan negara.

“Resolusi ini diluluskan sebulat suara hari ini. Kita akan kemukakan perkara ini kepada Kementerian Belia dan Sukan agar mereka akan membawanya kepada Kementerian Kewangan.

“Pada asasnya apa yang mereka (persatuan sukan) mahukan ialah tajaan dan geran yang mereka peroleh bebas daripada GST.

“Kini mereka perlu membayar enam peratus GST atas segala apa yang mereka kutip dan bukan mudah untuk memperoleh tajaan. Jadi saya fikir sekiranya kerajaan mahu lakukan kebaikan bagi sukan, ini adalah antara cara yang mereka boleh tunjuk sokongan kepada persatuan sukan kebangsaan,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat agung tahunan MOM ke-36 di Wisma MOM, Kuala Lumpur, hari ini.

MOM turut bersetuju untuk memberi geran tahunan kepada ahli gabungannya yang ahli biasa akan menerima RM10,000, ahli bersekutu yang terlibat dengan Sukan SEA sebanyak RM6,000 dan RM3,000 bagi ahli bersekutu yang tidak terlibat dalam Sukan SEA.

Sementara itu Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo berkata kini perkhidmatan dan perbelanjaan berkaitan sukan dan acara adalah termasuk enam peratus GST.

-Bernama
 

#}