malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Kalau sebelum ini Ting Chun Hong dan Kuek Tian Yuan menjadi 'muka hadapan' kemenangan skuad lelaki Malaysia, kini Wong Yi Hou menyerlah kehebatannya memimpin pasukan dalam kemenangan ketiga mengalahkan Australia.

Malaysia mengalahkan Australia ACBA Dragons dalam masa tambahan 76-73 setelah bertungkus-lumus merampas kembali penguasaan gelanggang.

"Walaupun agak sukar, kita dapat lihat dua pemain muda kita seperti Wong Yi Hou dan Ting Chun Hong memberikan yang terbaik sepanjang perlawanan.

"Perlawanan fizikal seperti ini memberi pendedahan yang bernilai untuk pasukan Malaysia," kata ketua jurulatih Malaysia Goh Cheng Huat.

Malaysia perlu berdepan dengan pasukan Taiwan yang mempunyai kelebihan dari segi ketangkasan. Kali ini, skuad lelaki pula diasak berkali-kali dalam perlawanan bersama Australia ACBA Dragons.

Jaringan Soo Eng Eng pada minit terakhir memberi nafas baru mendahului Australia, 59-61. Bibit-bibit akhir suku keempat cukup sengit setelah Yi Hou melengkapkan dua penalti dan mengikat mata 63-63.

Dalam 30 saat terakhir suku keempat, Tian Yuan terpaksa keluar gelanggang setelah mendapat lima foul dan pada masa yang sama, Malaysia terikat 65-65 dengan Australia.

Selang beberapa saat tinggal, Chee Li Wei merampas bola dari tangan pemain Australia dan menghantarkannya kepada Wei Hong tetapi jaringnya tidak diterima kerana masa sudah tamat.

Aksi kejar mengejar diteruskan dalam masa tambahan bermula dengan jaringan tiga mata daripada Choo Wei Hong. Namun, Australia mengasak berkali-kali dan kembali di hadapan pada 25 saat terakhir, 73-71.

Jaringan lay up Chee Li Wei tepat pada masa dan Soo Eng Heng memberikan Malaysia dua mata daripada jaringan penalti dalam 20 saat terakhir, 75-73

Dalam perlawanan ini juga, pemain veteran Soo Eng Heng yang juga bertugas sebagai seorang anggota polis, memimpin pasukan pada awal perlawanan dan Malaysia hanya mendahului Australia dua mata pada akhir suku pertama, 19-17.

Sukar untuk pasukan Malaysia untuk mendapatkan rebound, sama ada offensive atau defensive rebound dalam awal perlawanan dan menguasai rebound setakat pad 30 peratus berbanding dengan pihak lawan.

Pemain muda Wong Yi Hou meneruskan prestasi mantapnya dalam siri kejohanan ini dan menunjukkan kebolehannya dalam menjaringkan tiga mata dan jaringan dunk beberapa kali.

Skuad Australia berjaya mengejar kembali mata dalam pertengahan suku kedua dengan 26-29 dirampas kembali oleh Malaysia setelah Yi Hou mendapatkan dunk dan jaringan tiga mata oleh Chee Li Wei, 32-29.

Ting Chun Hong mengulangi kehebatannya dan menjaringkan tiga mata akhir buzzer sebelum separuh masa pertama dan mengembalikan penguasaan Malaysia, 38-35.

Secara keseluruhannya, Wong Yi Hou mendapat 23 mata, 4 rebound dan 4 assist manakala Soo Eng Heng menjaringkan 15 mata, 3 rebound dan 2 assist.

"Sukar berdepan pemain Australia yang lebih besar daripada kami dari segi fizikal dan ketinggian. Umumnya, skuad Malaysia mampu menangani mereka walaupun agak sukar mendapatkan jaringan dari dalam.

"Mereka agak tinggi dan besar, susah juga untuk saya bergerak dalam dan menjaringkan bola. Ada juga beberapa kesilapan awal tetapi mujur kami boleh mengalahkan Australia," kata Wong Yi Hou.

Malaysia akan bertemu Australia ACBA Dragons lagi pada perlawanan akhir untuk menentukan juara keseluruhan kategori lelaki dalam kejohanan ini pada pukul 8 malam esok.

Lihat Komen