malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Aksi mantap bawa kemenangan kedua Malaysia
ADS

BOLA KERANJANG | Berdepan Chung Chou University of Science and Technology dari Taiwan yang terkenal dengan corak permainan yang tangkas dan jaringan luar perimeter yang tepat, pasukan kebangsaan lelaki berjaya menjinakkan mereka dengan 10 mata, 98-88.

Sungguhpun berdepan skuad Malaysia yang mempunyai purata ketinggian yang lebih daripada pasukan Taiwan, pihak lawan tetap meletakkan pasukan kebangsaan di hujung tanduk.

Ting Chun Hong menjadi penjaring terbanyak untuk Malaysia dengan 21 mata dan 7 rebound manakala pemain veteran Chee Li Wei mendapat 11 mata dan 11 rebound.

Pasukan Malaysia mengembalikan penguasaan pertengahan suku ketiga, walaupun dicabar bertubi-tubi dengan full court press dari awal perlawanan daripada Chung Chou.

Ting Chun Hong yang menjadi penjaring terbaik perlawanan kali ini berkata skuad Malaysia tidak biasa dengan ritma perlawanan yang pantas dan tidak mudah ditangani.

"Mereka bergerak dengan sangat cepat dan kami pula agak lambat berbanding mereka. Ini antara sebab ritma permainan kami agak terjejas dan jaringan tersasar dalam separuh masa pertama.

"Pertahanan skuad kita juga tidak memuaskan dan memberikan peluang kepada mereka menyamai pungutan mata. Mujurlah dalam suku ketiga, kami mula menyesuaikan strategi dan mengurangkan banyak kesilapan awal dan menundukkan mereka," kata Ting.

Berkat enam jaringan tiga mata daripada Ting Chun Hong menamatkan suku ketiga dan membawa keseluruhan jaringan mata dengan 27 mata dan mendahului Chung Chou dengan 70-61.

Skuad kebangsaan meneruskan penguasaan gelanggang dan pertahanan mereka bertambah baik sekaligus menamatkan perlawanan dengan jurang yang besar berbanding separuh masa pertama.

Malaysia memberikan saingan sengit awal dan menjaringkan 4-0 dalam dua minit pertama daripada Wong Chin Yong dan Kuek Tian Yuan. Skuad kebangsaan mempunyai kelebihan dari segi ketinggian berbanding Chung Chou.

Walaupun serba kekurangan dari segi ketinggian, skuad Taiwan itu lebih pantas pergerakannya berbanding Malaysia. Wong Yi Hou mulakan dominasinya dalam gelanggang dan menyumbangkan tujuh mata dari jaringan tiga mata, menjarakkan perbezaan mata skuad Malaysia kepada 9 mata, 11-2 pada empat minit suku pertama perlawanan.

Suku pertama berakhir dengan Malaysia mendahului Chung Chou dengan lima mata, 26-21.

Pendahuluan awal pasukan kebangsaan memberikan sedikit sebanyak ruang untuk Malaysia mengekalkan penguasaan, namun Chung Chou yang terkenal dengan ketangkasan pantas menyamakan mata.

Du Yu-cheng dari Taiwan menyamakan kedudukan pada 33-33 selepas mendapat jaringan tiga mata pada enam minit suku kedua diikuti dengan satu lagi jaringan daripada Yang Yu-shuan yang memberikan pendahuluan pertama untuk Chung Chou.

Kesilapan hantaran bola dan turnover yang melebihi 10 dalam separuh masa pertama menyukarkan lagi Malaysia untuk mengembalikan penguasaan gelanggang. Pada masa yang sama, Du (Chung Chou) mendapat 6 daripada 9 jaringan tiga mata berbanding dengan jumlah jaringan tiga mata pasukan Malaysia, 6 daripada 12.

Pasukan Taiwan itu terus memberikan full court press dari awal suku kedua berhasil dan Chung Chou merampas suku kedua dari tangan Malaysia dan mendahului skuad negara dengan dua mata, 43-45.

Skuad lelaki Malaysia bakal berdepan Australia ACBA Dragons pada 6.30 petang esok manakala skuad wanita kebangsaan pula akan beraksi dengan pasukan kebangsaan Scotland pada pukul 8 malam.

Lihat Komen