malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Skuad ragbi negara diuji gempa kecil di Ranau
Diterbitkan:  Jun 15, 2017 5:22 PM
Dikemaskini: 9:24 AM
ADS

Persiapan skuad ragbi tujuh sebelah wanita kebangsaan yang kini berada di Ranau, Sabah sedikit teruji apabila kawasan itu dilanda gempa bumi lemah berukuran 3.0 pada skala Richter semalam.

Ketua jurulatih kebangsaan, Nik Safuan Ismade Nik Man ketika dihubungi Bernama, berkata gegaran tersebut berlaku ketika anak buahnya sedang bersedia untuk berbuka puasa selepas tamat menjalani sesi latihan pada sebelah petang.

“Memang ada rasa gegaran itu ketika kami sedang bersiap untuk berbuka tetapi tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku terhadap pasukan.

“Mereka (atlet) semua dalam keadaan baik dan hari ini kami menjalani latihan seperti biasa di sebelah pagi,” katanya sambil menyifatkan prestasi anak buahnya sedang meningkat naik selepas memasuki hari ketiga menjalani latihan di sana.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam mengesahkan kejadian gempa lemah itu.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata pihaknya akan berbincang mengenai perkara tersebut sebelum membuat sebarang keputusan termasuk kemungkinan memanggil skuad berkenaan pulang ke Kuala Lumpur.

“Saya akan menilai dahulu laporan daripada pengurus pasukan mengenai gegaran ini sebelum saya memutuskan tindakan yang perlu diambil seterusnya. Keselamatan para pemain dan pegawai di sana adalah keutamaan kami dan kita tidak akan mengambil sebarang risiko,” tegas beliau.

Skuad negara yang kini berada dalam fasa ketiga Program Kita Juara 2017 sedang giat menjalani latihan beraltitud tinggi selama 10 hari bermula Isnin lepas sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos ini.

Mereka dijadual berlepas ke Hong Kong pada 23 Jun untuk menghadapi perlawanan persahabatan menentang skuad Bawah 20 Tahun serta dua kelab tempatan sebelum beraksi menentang Filipina yang dijadual turut berada di sana ketika itu.

-Bernama

Lihat Komen