malaysiakini logo
story-image
ADS

Tewas pada perlawanan pertama selepas mengendali skuad bola sepak kebangsaan belum boleh mengukur kemampuan sebenar Nelo Vingada dan hala tujunya membawa Harimau Malaya ke tahap lebih baik.

Bagi bekas jurulatih kebangsaan B Sathianathan, jurulatih dari Portugal itu mempunyai tempoh kira-kira tiga bulan untuk menilai pemain-pemain tempatan bagi dibawa masuk ke skuad kebangsaan.

Merujuk kepada perlawanan bertemu Lubnan 13 Jun lalu, katanya, pemilihan pemain tersebut bukan dibuat sendiri oleh Vingada kerana kesuntukan masa sebaik tiba di Malaysia.

"Jadi, selepas liga bersambung dia pastinya akan jelajah untuk menilai prestasi pemain yang beraksi dengan pasukan masing-masing.

"Daripada itu mungkin Vingada akan kesan pemain-pemain yang dikehendakinya dan sesuai dengan permainan yang mahu diterapkan dalam skuad kebangsaan nanti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu, Malaysia tewas 1-2 kepada Lubnan dalam aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Perlawanan seterusnya pasukan negara bakal bertemu Hong Kong dijadualkan pada 5 September nanti.

Vingada dengan pengalamannya melatih pasukan seperti Portugal, Arab Saudi, Jordan, Iran dan lebih 10 pasukan berstatus kelab di pelbagai negara dilantik mengantikan posisi Datuk Ong Kim swee selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerajui FAM.

Sementara itu, Sathianathan yang kini mengemudi Felda United FC berkata, aksi kedua Harimau Malaya di bawah kendalian jurulatih baru itu bakal menampilkan pemain pilihan sebenar Vingada.

"Dia akan buat pilihan dengan mengambil pemain yang sesuai dengan perancangannya. Dia perlu melihat prestasi seseorang dalam beberapa perlawanan.

"Sebagai jurulatih kita tak boleh menilai pemain hanya dengan satu perlawanan sahaja, kadang-kadang mereka tidak konsisten atau di luar prestasi sebenar," jelasnya.

Lihat Komen