malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

BOLA KERANJANG | Perlawanan pertama tidak begitu mudah dengan tugasan mencabar tetapi skuad lelaki Malaysia memperoleh kemenangan dengan mengalahkan Taiwan Normal University sebanyak 9 mata, 79-70.

Walaupun nyaris tewas, skuad Malaysia berjaya menundukkan pasukan lawan dalam perlawanan sengit.

Pemain-pemain muda seperti Kuek Tian Yuan, Teo Kok Hou dan Ting Chun Hong menjadi antara jentera utama dalam skuad lelaki Malaysia.

Kuek Tian Yuan yang berjaya menjaringkan 30 mata dalam perlawanan ini berkata, ia adalah perlawanan pertama di gelanggang sejak ABL lalu dan beliau gembira dengan kemenangan berkenaan.

Menurutnya, banyak kelemahan perlu diperbaiki pasukan negara terutamanya bagi mengukuhkan pertahanan.

"Saya harap kami dapat teruskan momentum dalam Sukan SEA nanti," tambah beliau.

Dengan kembalinya beberapa pemain veteran dalam skuad Malaysia pada kejohanan MABA antarabangsa jemputan minggu ini seperti Soo Eng Heng, Wong Chin Yong dan Soo Eng Heng, pasukan kebangsaan tampak lebih kuat dari segi pertahanan.

Selain itu, Chan Kek Thai, 33, yang mewakili Malaysia dalam kejohanan SEABA bulan lalu turut serta dalam perlawanan minggu ini sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA, Ogos nanti.

Bagi Chee Li Wei yang digelar 'Optimus Prime' kerana ketinggiannya pada 197 sentimeter, skuad kebangsaan kali ini mengharapkan yang terbaik untuk Malaysia pada Sukan SEA nanti.

"Saya berasa seronok dan gembira dapat kembali ke skuad kebangsaan," kata Chee yang merupakan pemain veteran Malaysia pada usia 34 tahun.

Menurut Chee, beliau kembali berlatih bersama pasukan negara sejak tiga bulan lalu dan mengakui terdapat perbezaan dan cabaran untuk menyesuaikan diri dengan pemain muda dalam pasukan.

"Ada ramai pemain muda, masih perlukan masa untuk menyesuaikan diri dalam pasukan. Saya percaya, kita dapat mencapai sasaran kami untuk Sukan SEA nanti," tambah Chee.

Skuad lelaki akan berdepan Taiwan Chung Chou University esok pada perlawanan pukul 8 malam.

Lihat Komen