malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Harimau Malaya kalah di Larkin
Diterbitkan:  Jun 13, 2017 11:44 PM
Dikemaskini: Jun 15, 2017 6:03 AM
ADS

Hasrat pasukan bola sepak Malaysia untuk melakar kemenangan pertama aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 dinafikan skuad Lubnan di saat-saat akhir perlawanan dengan keputusan 1-2, sebentar tadi.

Sentuhan pertama jurulatih baru Nelo Vingada memberi isyarat awal yang baik untuk skuad Harimau Malaya selepas berjaya menjinakkan pasukan pelawat dengan kelebihan satu gol di separuh masa pertama.

Aksi Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu ternyata belum memihak kepada Safiq Rahim dan rakan-rakan untuk meraih kemenangan.

Rabih Ataya tampil menghasilkan gol penyamaan pasukannya pada minit ke-79 ketika perlawanan semakin menuju ke penghujung 90 minit untuk kedudukan 1-1.

Namun, di minit-minit masa tambahan bumi Larkin menjadi saksi pasukan negara tumpas jua apabila Lubnan berjaya membolosi gol kedua untuk kedudukan 2-1.

Penampilan jentera negara sepanjang 45 minit pertama dilihat tidak kosisten baik di posisi serangan, tengah ataupun pertahanan khususnya di awal permainan.

Lubnan lebih berselera

Sebaliknya, kem Lubnan lebih tersusun dan lebih banyak melakukan serangan sekali gus menguji benteng pertahanan anak buah Vingada.

Pasukan bimbingan Miodrag Radulovic nampaknya begitu mudah membaca gerakan pemain Malaysia sedikit-sebanyak dibuktikan melalui beberapa serangan balas pantas.

Bagaimanapun, jentera pertahanan negara harus diberi pujian selepas menunjukkan usaha keras mengekang percubaan lawan, khususnya di separuh masa pertama.

Mahali Jasuli akhirnya tampil melegakan seluruh tanah Malaysia menjelang minit ke-43 susulan kesilapan penjaga gol pasukan pelawat, Mehdi Khalil.

Hantaran berpunca daripada Syazwan Zainon gagal disudahi Ahmad Hazwan Bakri, namun tangkapan Mehdi terlepas dari dakapannya sekali gus dirampas Mahali sebelum menyempurnakan gol tunggal Malaysia.

Kembali dari bilik persalinan untuk separuh masa kedua, pasukan pelawat terus menggandakan serangan memaksa pemain tuan rumah bekerja keras.

Di samping itu, Vingada melakukan beberapa pertukaran pemain antarannya mengeluarkan Baddrol Bakhtiar digantikan pemain veteran, Amri Yahyah.

Sayangnya, selera barisan pemain Lubnan lebih besar dan mereka ternyata memberi harapan palsu buat penyokong bola sepak negara.

Rabih Ataya tampil meranapkan impian Harimau Malaya sekurang-kurangnya untuk mengutip satu mata di gelanggang sendiri di saat-saat akhir sebelum wisel penamat ditiupkan pengadil.

Keputusan itu meletakkan Malaysia pada kedudukan terakhir Kumpulan B, manakala Lubnan di tangga teratas dengan mengumpul enam mata selepas dua perlawanan.

Korea Utara pula berada di posisi kedua selepas seri 1-1 berdepan Hong Kong.

Pada perlawanan seterusnya, skaud negara bakal berdepan Hong Kong dijadualkan berlangsung pada 5 September nanti.

Lihat Komen