malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
IOC umum bola keranjang 3x3 di Tokyo 2020
ADS

Jawatankuasa Eksekutif Olimpik Antarabangsa (IOC) baru sahaja meluluskan senarai acara baru termasuk bola keranjang 3x3 untuk dipertandingankan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya amat berbesar hati dan menanti-nantikan acara yang bakal dipertandingkan setelah diluluskan oleh IOC hari ini termasuklah lima acara baru untuk Tokyo 2020. Acara baru ini menjadi simbol untuk langkah baru mengukuhkan program Olimpik.

"Saya percaya Sukan Olimpik di Tokyo kelak akan menjadi lebih muda, mengikuti trend semasa dan melibatkan lebih ramai wanita," kata Presiden IOC, Thomas Bach dalam satu kenyataan.

Selain dari bola keranjang 3x3, turut tersenarai dalam lima acara baru yang memberi fokus kepada generasi muda adalah BMX Freestyle, acara mendaki, dan skateboarding.

Dalam pada itu, setiausaha agung FIBA Patrick Baumann turut merakamkan khabar gembira dan merasakan usaha selama satu dekad lalu akhirnya membuahkan hasil untuk tersenarai dalam Tokyo 2020.

"Inilah hari bersejarah untuk FIBA dan sukan 3x3," kata beliau.

Peluang Malaysia raih podium

Sementara itu, presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) Datuk Lua Choon Hann melihat keputusan itu sebagai peluang keemasan untuk skuad kebangsaan menaiki podium.

"Inilah peluang kita, seperti cahaya di hujung terowong. MABA bakal membuat pengumuman kelak dalam rancangan untuk memperkenalkan lebih banyak acara 3x3 dan mengadakan kejohanan pertandingan litar di Malaysia dan juga untuk skuad kebangsaan.

"Kita sedia maklum setelah dua tahun skuad Malaysia menyertai kejohanan Asia 3x3, prestasi skuad Malaysia sangat memberangsangkan. Saya percaya kita mempunyai peluang mendapat podium dan setaraf dengan pasukan terbaik di peringkat Olimpik," katanya kepada Malaysiakini.

Lua turut menyatakan hasrat untuk memulakan program pembangunan untuk acara bola keranjang 3x3 di semua peringkat kelak.

Selain itu, ketua jurulatih skuad kebangsaan lelaki Goh Cheng Huat juga menyifatkan pengumuman ini suatu khabar gembira untuk semua peminat sukan bola keranjang.

"Bagaikan mimpi untuk ramai peminat bola keranjang. Pengumuman kali ini untuk Tokyo 2020 memberikan peluang untuk semua bertanding mendapatkan tiga pingat masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita.

"Saya merasakan 3x3 akan menjadi lebih mudah untuk bermain kerana hanya memerlukan empat pemain dalam satu skuad berbanding 12 pemain untuk perlawanan 5 lawan 5. Kos operasi untuk mengadakan kejohanan sebegini jauh lebih murah berbanding kejohanan besar.

"Ini juga akan memberi peluang yang baik untuk mendapat sokongan para penaja dan menarik lebih ramai peminat bagi menyokong acara ini nanti," ujarnya.

Lihat Komen