malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Messi terkesan dengan bola sepak China
Diterbitkan:  Jun 9, 2017 2:39 PM
Dikemaskini: 6:44 AM
ADS

Bintang Barcelona dan Argentina, Lionel Messi mengakui banyak mengambil tahu mengenai perkembangan sepak bola China.

Namun, itu bukan bererti penyerang berbisa berusia 29 tahun itu berhasrat untuk bermain di negara Tembok Besar tersebut.

Messi berkata, dia banyak berbincang mengenai bola sepak China bersama rakan senegaranya yang kini bermain untuk Hebei CFFC, Ezequiel Lavezzi.

Pemain terbaik dunia lima kali itu ternyata terkesan dengan perkembangan dan kemajuan sukan bola sepak republik itu.

"Kami banyak bercakap mengenai perubahan gaya hidup dia (Lavezzi) dan bola di China.

"Kami memberikan ulasan soal perubahan cara hidup dan bagaimana rasanya bermain di Liga China," kata Messi seperti dilaporkan Tencent.

Dia kini bersama skuad kebangsaan Argentina untuk beraksi dalam perlawanan persahabatan berdepan Brazil di Stadium Melbourne Cricket Groud, Australia, hari ini.

Ketika perjalanan ke Austalia, rombongan skuad Argentina itu singgah di China dan memenuhi permintaan untuk bertemu media.

Dalam kesempatan itu, Messi ditemubual media tempatan dan mengakui banyak mengikuti perkembangan bola sepak negara itu.

"Saya kira Liga China telah berkembang pesat dan memberi impak terhadap bola sepak seluruh dunia. Saya sudah beberapa kali singgah di sini hanya untuk bermain atau berlatih, jadi tak ada kesempatan untuk mengenali negara ini lebih dekat.

"Tapi, apa yang saya lihat perkembangan di negara ini telah membuat saya terkesan," jelasnya.

Selepas menghadapi Brazil, Argentina akan terbang ke Singapura dan bakal mengadakan perlawanan persahabatan dengan skaud The Lions di Stadium Nasional, Jalan Besar, Selasa ini.

Lihat Komen