malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Pemain TRW boleh beraya sakan
Diterbitkan:  Jun 8, 2017 5:24 PM
Dikemaskini: 9:34 AM
ADS

Pemain pasukan bola sepak Kelantan menerima khabar gembira daripada pihak pengurusan dan penajaan pasukan itu apabila bakal menerima gaji lebih awal menjelang sambutan Hari Raya Aidilfiti 25 Jun nanti.

Ia susulan pengumuman dibuat oleh Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang menyatakan pembayaran gaji bulan ini akan diagihkan lebih awal.

"Insya-Allah beberapa penaja sepakat untuk membantu membayar gaji skuad 2017 The Red Warriors (TRW) bagi bulan Jun (yang sepatutnya dibayar awal bulan Julai). Lebih awal supaya semua dapat bergembira menyambut hari raya.

"Gaji bulan Mei juga dijelaskan serentak pada 20 Jun sambil berbuka puasa di Seri Puri Bukit Marak (kediamannya). Ini bererti tiada lagi tunggakan gaji bagi skuad 2017," katanya dalam tulisan terbaru di Facebook, hari ini.

Sementara itu, Annuar yang juga salah seorang penaja TRW menegaskan pihaknya sedang berusaha membantu Kafa melunaskan tunggakan pemain musim 2015/16.

Katanya, tunggakan tersebut kebanyakkannya bukan melibatkan gaji tetapi berbentuk pampasan atau penyelesaikan penamatan kontrak lebih awal.

"Kafa ternyata belum mempunyai wang untuk menjelaskannya dan mereka yang terbabit perlu menunggu agak lama lagi.

"Sebagai satu cara membantu (tanpa prejudis), penaja secara sukarela akan menawarkan satu plan penyelesaian kepada semua pemain import dan tempatan.

"Mana-mana pemain atau pegawai yang sanggup selesaikan tuntutan dengan memberi diskaun sebanyak 50 peratus kepada Kafa," katanya.

Pada 2 Jun lalu, Kafa diarahkan membayar tunggakan gaji dengan bekas jurulatih, Velizar Emilov Popov bernilai hampir RM60,000 dan tiga pemain sebanyak RM130, 486.87.

Anggota parlimen Ketereh itu, berkata pihaknya akan membayar semula tuntutan itu bagi pihak Kafa secara tunai dalam tempoh 30 hari selepas mereka memberi persetujuan.

Untuk itu katanya, sebuah firma guaman akan dilantik sebagai stakeholder (pemegang taruh) yang akan menulis surat dan menghantar tawaran tersebut kepada semua yang terlibat.

"Sekiranya mereka sukarela bersetuju menerima tawaran kam i(iaitu bersetuju memberi diskaun 50 peratus), kami akan jelaskan bagi pihak Kafa hutang tersebut secara tunai serta-merta.

"Tawaran ini dibuat secara sukarela oleh semua kumpulan penaja demi membantu mempercepatkan penyelesaian hutang," jelasnya.

Namun, menurut Annuar bagi yang tidak bersetuju tiada paksaan kepada mereka dan terpaksa menunggu sehingga Kafa mempunyai keupayaan untuk membayarnya.

"Itu adalah hak mereka. Mereka boleh pilih yang mana satu, kami cuma cuba membantu kedua-dua pihak tanpa prejudis," katanya.

 

Lihat Komen