malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Lepas Fiba Asia 3x3, Seaba ke mana hala tuju Malaysia?
ADS

Berakhir sudah dua kejohanan utama dalam kalender bola keranjang, iaitu kejohanan Seaba Asia Tenggara di Manila, Filipina dan Fiba Asia 3X3 bawah 18 tahun di Cyberjaya, Malaysia.

Ada yang baik dan ada yang kurang berjaya dalam dua temasya itu. Yang paling penting, kita dapat melihat perubahan ketara dari segi pembangunan sukan bola keranjang di Malaysia.

Skuad wanita junior negara berjaya mendapat pingat perak dalam kejohanan 3x3, suatu prestasi yang menjangkaui sasaran awal. Mereka memungut pingat gangsa dalam kejohanan yang sama tahun lalu.

"Secara jujur, kita belum mencapai standard yang memuaskan lagi walaupun kita berjaya mendapat tempat kedua untuk skuad wanita. Pasukan Malaysia baru sahaja berjinak dalam acara bola keranjang 3x3 sejak tahun lalu," kata Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) Datuk Lua Choon Hann, kepada Malaysiakini Ahad lalu.

Selama ini, katanya, persatuan memberi fokus kepada bola keranjang untuk lima pemain, berbanding 3x3.

"Setelah saya menghadiri sidang Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (Fiba) di Hong Kong baru-baru ini, baru kita sedar Fiba mempunyai strategi dan hala tuju yang baru mulai tahun ini," katanya.

Lua memberitahu Fiba ingin meletakkan acara 3x3 setaraf dengan format konvensional dengan lima pemain. Beliau juga ingin memulakan langkah awal untuk membangunkan potensi negara dalam acara itu.

Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) dikatakan bakal mengumumkan sama ada acara 3x3 diiktiraf sebagai salah satu acara sukan Olimpik.

Satu negeri satu pasukan

Sekiranya diterima kelak, sukan bola keranjang 3x3 akan membuat kemunculan pada temasya Olimpik Tokyo 2020 nanti.

"Melihat kepada prestasi skuad wanita kebangsaan, Malaysia berpotensi mendapat podium dalam kejohanan yang akan datang, begitu juga untuk skuad lelaki," katanya.

Skuad lelaki pula mencatat sejarah mengalahkan pasukan gergasi - Filipina - pada pusingan awal, sekali gus membalas dendam kekalahan kepada mereka di pusingan separuh akhir tahun lalu.

Namun, Malaysia disekat Lubnan di peringkat suku akhir kali ini. Skuad negara terpaksa berpuas hati dengan kedudukan di tempat keenam. Malaysia memenangi pingat gangsa tahun lalu.

"Untuk skuad lelaki pula, walaupun kurang berjaya melepasi pusingan suku akhir, mereka beraksi dengan sangat cemerlang menentang Filipina. Akan tetapi, mereka agak terburu-buru dalam gelanggang melawan Lubnan," katanya.

Pemain dalam skuad Lubnan pula hanya memberi fokus dalam latihan 3x3 mereka berbanding skuad negara.

Lua berkata pemain kebangsaan bawah 18 tahun negara belum lagi cukup matang dalam arena ini.

Dalam kejohanan Piala Agong yang bakal berlangsung tahun ini, Lua mencadangkan acara 3x3 diadakan serentak dengan kejohanan itu.

Katanya tiap-tiap negeri akan menghantar satu pasukan dan menyertai kejohanan Piala Agong untuk 3x3.

"Selepas Piala Agong, barulah kita akan anjurkan untuk kategori bawah 17 tahun dan bawah 15 tahun.

"Sementara itu Fiba mempunyai sistem kedudukan sedunia untuk setiap pasukan kebangssan dan saya ingin memperkenalkan sistem pertandingan litar di Malaysia.

"Mungkin kita boleh merancang kejohanan melalui sistem pertandingan litar sebagai salah satu cara membangunkan sukan bola keranjang. Sebelum itu, saya perlu berbincang dengan persatuan negeri masing-masing dahulu sebelum dilaksanakan," katanya.

Prestasi Seaba pemangkin Malaysia

Dalam kejohanan Seaba di Manila baru-baru ini, pasukan senior menduduki tempat keempat, diatasi Filipina, Indonesia dan Thailand.

Pasukan junior bawah 16 tahun pula mengekalkan status quo sebagai pemenang pingat perak dan memberikan persembahan yang turut dipuji oleh wartawan tempatan di Filipina pada perlawanan akhir.

"Sejak dari mula untuk kedua-dua pasukan junior dan senior, kita dapat lihat peningkatan prestasi yang cukup memberangsangkan. Mereka beraksi dalam setiap perlawanan dan kita nampak terdapat kemajuan dari semua aspek.

"Saya harap sebahagian pemain yang sedang berehat kini boleh bergerak ke hadapan bersama-sama. Saya yakin, bersama Maba, kita akan terus menyokong dan membantu setiap pemain kebangsaan," ujar Lua yang turut bersama-sama pasukan kebangsaan di Manila ketika itu.

Menurut Lua lagi, beliau gembira dengan peningkatan prestasi pasukan senior sejak mengambil alih tampuk pimpinan di MABA tahun lalu.

Dia bagaimanapun mengakui kelemahan utama pasukan lelaki kebangsaan ialah selalu dibelenggu 'mitos' kehebatan pasukan Filpina.

"Selepas berseteru dalam gelanggang yang sama bersama Filipina, ungkapan 'mitos' tentang pasukan lawan itu yang hebat bukanlah lagi satu kenyataan. Mereka hanyalah 'manusia' seperti kita.

"Malaysia mempunyai peluang yang sama untuk menyaingi mereka, tanpa mengira sama ada ketinggian yang lebih atau tidak, saya percaya dengan usaha yang lebih gigih lagi, kita dapat mengalahkan mereka," katanya.

Mengulas lanjut persediaan pasukan bawah 16 tahun, Lua memberitahu mereka akan menjalani latihan intensif ke Taiwan atau Filipina sebelum menyertai Fiba Asia U16 yang bakal diadakan pada akhir tahun nanti.

"Pasukan senior kita akan menyertai kejohanan jemputan yang bakal diadakan pada Jun dan akan bertolak ke New Zealand untuk persediaan. Pengurusan pelan latihan dan persediaan akan dikendalikan oleh pihak Westports Malaysia Dragons.

"Kita buat secara berperingkat, dan kita dapat lihat perkembangan prestasi sukan bola keranjang negara, sudah punyai faktor 'oomph'," katanya.

Lihat Komen