malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
UTK, Vat69 antara pengawal Sukan SEA KL
ADS

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan anggota secukupnya di setiap lokasi kejohanan Sukan SEA ke-29 pada Ogos ini, termasuk anggota Unit Tindakan Khas (UTK) dan Komander 69 (Vat 69).

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh berkata selain itu pihaknya turut menempatkan anggota Unit Pemusnah Bom, Pasukan Gerakan Udara, Pasukan Gerakan Am, Unit Anjing Pengesan (K9), Jabatan Siasatan Jenayah dan juga anggota tugas-tugas am.

"Polis akan meletakkan anggota secukupnya di setiap lokasi Sukan SEA untuk menghadapi sebarang insiden," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Latihamal Ex-Op Rimau di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di Kuala Lumpur hari ini.

Seramai 350 anggota PDRM daripada pelbagai unit menjalani latihan itu dan ia akan diteruskan di tiga lagi lokasi iaitu Masjid KLCC, Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi dan Taman Endurance Antarabangsa Lembah Bidong, Terengganu.

Menurut Amar Singh, latihan itu turut membabitkan Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta agensi lain yang berkaitan penganjuran temasya itu.

"Latihan hari ini terdiri daripada beberapa senario utama seperti ancaman bom, runtuhan bangunan dan ancaman individu memiliki senjata berbahaya, bagi memastikan kesiapsiagaan anggota.

"Ia bertujuan melatih anggota menghadapi sebarang krisis dan ancaman keselamatan yang mungkin berlaku sepanjang penganjuran Sukan SEA, menguji keberkesanan perancangan dan tindakan polis serta uji peranan komander-komander Briget sebagai ketua Pasukan Tindakan Krisis," katanya.

Sukan SEA ke-29 menyaksikan Kuala Lumpur selaku tuan rumah bakal menerima kunjungan atlet dari 10 negara Asean yang akan bertanding dalam 405 acara daripada 38 jenis sukan.

- Bernama

Lihat Komen