malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Lepas kecewa, Rusa fokus Liga Perdana, Piala M'sia
ADS

Selepas kecewa melangkah ke final Piala FA musim ini, skuad Rusa kini fokus untuk menjuarai Liga Perdana dan Piala Malaysia, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata skuad itu perlu melupakan kekecewaan di Piala FA dan kembali menumpukan kepada dua cabaran yang mendatang.

"Saya puas hati dengan kemaraan ke separuh akhir Piala FA dan harap prestasi cemerlang ini boleh kita teruskan agar dapat melayakkan diri beraksi pada Liga Super tahun depan. Saya yakin kita mempunyai peluang untuk mencapai hasrat itu," katanya kepada pemberita di Seremban, hari ini.

Negeri Sembilan gagal melangkah ke final selepas tewas 1-3 secara agregat kepada Pahang apabila tunduk 1-2 dalam pada perlawanan separuh akhir kedua di sini pada 13 Mei lepas.

Mengulas lanjut, beliau berkata pencapaian skuad Rusa melangkah ke separuh akhir Piala FA musim ini adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan kerana tidak ramai yang memberi harapan untuk sampai ke peringkat itu.

"Apa yang menggembirakan saya ialah walaupun kita tewas, kita kalah bermaruah. Kita bukan kalah tidak melawan malah pasukan kita banyak membuat serangan tetapi tiada penyudah.

"Pahang pula cuma mendapat dua peluang dan mereka memanfaatkan dengan jaringan gol," katanya.

Mengenai sama ada Negeri Sembilan akan mendapatkan pemain pada jendela perpindahan pemain ketika ini, beliau berkata skuad itu akan mengekalkan pemain sedia ada termasuk pemain import.

Sebaliknya, Mohamad berkata, beberapa pemain muda akan diketengahkan untuk memberi pendedahan kepada mereka.

"Kita perlu memberi peluang kepada pemain muda ini beraksi dengan pasukan senior (Liga Perdana) untuk mereka menimba pengalaman. Malah, kita menampilkan seorang pemain muda pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di sini pada 13 Mei lepas dan dia bermain dengan baik.

"Kita perlu mencungkil bakat dan bukannya mengambil pemain 'pasang siap' kerana tindakan ini tiada kesudahannya. Kita boleh mengambil pemain luar tetapi kalau kita tidak ada usaha mengetengahkan pemain muda, tidak ada gunanya juga.

"Saya lebih percaya kita melatih bakat muda tempatan. Kita mempunyai akademi bola sepak dan sekolah sukan untuk mengasah bakat muda sebelum diserapkan ke pasukan belia, Piala Presiden dan seterusnya pasukan senior. Sekarang kita mempunyai lapan pemain muda yang mewakili skuad Rusa," katanya.

- Bernama

Lihat Komen