malaysiakini logo
story-image
ADS

Pasukan JDT menang 2-1 mengatasi Pahang di Larkin, namun tetap ditunjuk jalan keluar daripada saingan Piala FA 2017 oleh pasukan Pahang dengan agregat 3-4.

Seawal minit kelima skuad Harimau Selatan memberi amaran kepada Pahang betapa mereka mahu melangkah ke saingan separuh akhir Piala FA 2017, namun tewas di detik-detik akhir tempoh perlawanan.

Pada aksi suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, sebentar tadi, hasrat JDT untuk menyekat kemahuan skuad Tok Gajah digagal Mohamadou Sumareh yang menjaringkan gol kemenangan buat Pahang.

Terdahulu, Gabriel Guerra memberi kegembiraan awal buat penyokong tuan rumah untuk gol pertama JDT sebelum disusuli jaringan kedua pada minit ke-22.

Perebutan bola berjaya ditangani Azrif ‎Nazrul mengatasi pertahanan lawan sebelum melakukan hantaran disambut dengan rembatan padu Guerra.

Sepanjang 45 minit pertama, anak buah Benjamin Mora ternyata lebih menguasai serangan berbanding pihak lawan.

Pahang nampaknya terpaksa bertahan di samping cuma mengimbangi serangan-serangan JDT.

‎Kedudukan 2-0 dengan agregat 3-3 sekali gus kelebihan buat JDT dengan bekalan satu gol di tempat lawan memberi tekanan tersendiri bagi kedua-dua pasukan.

Keadaan itu berlarutan sehingga babak separuh akhir kedua menyaksikan JDT lebih banyak mengatur serangan.

Ketika itu Safiq Rahim dan rakan-rakan dilihat ghairah untuk memburu lebih banyak gol.

Anak buah Dollah Salleh pula terpaksa lebih kental menutup ruang bagi mengatasi ‎serangan penyandang juara.

Di minit ke-86, Sumareh membuktikan mereka lebih layak untuk berdepan Negeri Sembilan pada cabaran separuh akhir.

Kedudukan 2-1 membawa Pahang ke peringkat seterusnya dengan kelebihan agregat 3-4.

Sementara itu, Harimau Selatan bagaimanapun masih mengekalkan ‎rekod tanpa kalah mereka di gelanggang sendiri dalam saingan liga Malaysia sejak musim terdahulu.

Lihat Komen