Satu langkah untuk HK Long Lions rangkul trofi ABL

Norman Goh
(Dikemaskini )

LIGA ABL | Suatu kemenangan yang cukup manis buat Hong Kong Eastern Long Lions yang menumpaskan tuan rumah Singapore Slingers di gelanggang sendiri dengan empat mata, 72-76.

Lions yang layak dalam perlawanan akhir untuk kali pertama dalam edisi Liga Bola Keranjang Asean Basketball League (ABL), semakin menghampiri kejuaraan liga. Lions hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk merangkul piala ABL.

Marcus Elliott dari Lions berjaya menjaringkan 21 mata, 9 rebound, 9 assist manakala Josh Boone mendapat 18 mata dan 5 rebound.

Berbeza dengan perlawanan kedua final pada minggu lalu, kedua-dua pasukan kali ini beraksi dengan lebih berhati-hati dalam gelanggang.

Bibit-bibit terakhir dalam suku keempat masih kabur, Slingers dan Lions masih berebut penguasaan dalam gelanggang. Jaringan tiga mata oleh Leon Kwek dari Slingers memberikan nafas baru untuk pasukan Singapura itu dalam tiga minit terakhir membawa Slingers di hadapan, 66-65.

Selang minit terakhir perlawanan, Slingers terjebak dalam kesilapan foul lagi dan memberikan mata percuma kepada Lions dalam jaringan penalti. Kesilapan oleh Josh Urbiztondo itu meranapkan peluang Slingers untuk menamatkan perlawanan keempat final untuk mereka.

Mula perlahan tetapi serangan bertubi

Walaupun agak perlahan untuk Lions dan Slingers, jaringan mata masih kurang daripada dua perlawanan lalu. Cuai dan dibelenggu dengan turnover, mereka masih dalam mod pertahanan sepanjang suku pertama.

Pemain utama Slingers and Lions seperti Josh Boone dan Justin Howard masing-masing belum lagi menampakkan penguasaan dari segi jaringan mata. Percubaan Chan Siu Wing (Lions) pada saat akhir tidak berhasil dan suku pertama berakhir dengan Slingers di hadapan Lions sebanyak 5 mata, 17-12.

Suku kedua berbeza pula dengan sebelum ini apabila kedua-dua pasukan mula mengasak langkah dalam serangan. Aksi kejar-mengejar mengikat Slingers dan Lions pada 17-17 dan juga 21-21.

Slingers tidak menduga serangan bertubi-tubi daripada Lions dan memaksa turnover daripada pasukan Singapura itu memberikan peluang untuk menambah mata. Pada pertengahan suku kedua, Lions kembali di hadapan, 23-27 hasil jaringan 11 mata daripada Josh Boone dan Marcus Elliott.

Detik demi detik berlalu, Slingers kembali 'merobek' mata daripada tangan Lions. Kesilapan strategi pertahanan Lions membuka pintu keemasan untuk Slingers kembali di hadapan. Jaringan lay-up oleh Steven Guinchard pada saat akhir sebelum wisel penamat akhiri suku kedua dengan Slingers mendapat 40 berbanding 39 mata.

Kesilapan sendiri akibatkan kekalahan

Suku ketiga melihat Slingers jauh ketinggalan di belakang Lions sebanyak 9 mata, namun pada pertengahan permainan, hasil gandingan Justin Howard dan Xavier Alexander yang menjaringkan 11 mata dari 40-48 ke 51-50.

Akibat kesilapan pemain Slingers, Ng Han Bin yang melakukan perbuatan foul terhadap Elliott (Lions) memberikan jaringan penalti dan pasukan Hong Kong itu kembali di hadapan pada akhir suku ketiga, 56-57.

Slingers yang umumnya masih mengutamakan dua pemain import mereka, Justin Howard dan Xavier Alexander belum menyaksikan prestasi yang baik daripada barisan pemain tempatan. Pasukan Slingers punyai kelebihan yang agak baik pada permulaan suku keempat, tidak mampu mengekang serangan daripada Josh Boone dan Tyler Lamb dari Lions.

Pada pertengahan suku terakhir itu, pasukan Hong Kong sudah meninggalkan Slingers di belakang sebanyak lima mata, 60-65. Setelah bertungkus-lumus, pemain tempatan Slingers, Leon Kwek akhirnya mengembalikan penguasaan dengan jaringan dua mata, 66-65 dalam tiga minit terakhir perlawanan.

Sungguhpun ketua jurulatih Slingers, Neo Beng Siang hanya menggunakan tujuh daripada 14 pemain, mereka masih dapat mengekang serangan Lions, tetapi tidak cukup mendapat kemenangan.

Singapore Slingers akan berentap dalam perlawanan keempat final dengan Hong Kong Eastern Long Lions pada 23 April ini.

Share