Muhamad Farkhan terima anugerah WBC Asia

(Dikemaskini )

Peninju profesional negara, Muhamad Farkhan Mohd Haron sekali lagi mengharumkan nama negara apabila menerima anugerah "WBC Asia Exemplary Boxer Of The Year 2016" yang akan disampaikan oleh Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia.

Pengiktirafan tertinggi buat sukan tinju tanah air ini adalah atas kejayaan anak kelahiran Johor itu memenangi tali pinggang kategori Light-Heavyweight dan Cruiserweight dalam tempoh kurang setahun lalu.

Kejayaan itu turut dikongsikan oleh Facebook Johor Southern Tigers sebentar tadi.

"Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat khususnya DYAM Tunku Mahkota Johor yang sentiasa menyokong, membantu dan memberi dorongan dalam karier yang diceburinya.

"Menurutnya, beliau tidak akan berjaya tanpa bantuan dan kepercayaan yang diberikan malah berjanji untuk terus membawa panji negeri Johor berkibar ke peringkat lebih tinggi.

"Dua tali pinggang yang dimenanginya dianggap sebagai permulaan dalam perjuangan beliau. Luaskan Kuasamu Johor," jelas kenyataan tersebut.

Julai tahun lalu, pemenang pingat emas Sukan Sea 2009 itu memahat nama selaku petinju pertama Malaysia merangkul tali pinggang WBC kategori cruiserweight apabila dengan mudah menumbangkan peninju Indonesia, Elly Pangaribuan secara 'technical knockout' (TKO).

Muhamad Farkhan sekali lagi mencatatkan kebanggaan negara apabila merangkul tali pinggang WBC Asia bagi kategori light heavyweight pada Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC), Januari lalu.

Pada perlawanan itu, Muhamad Farkhan menewaskan Sheikh Kaseba dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam pusingan keempat, menerusi pukulan TKO selepas menundukkan lawannya itu dalam masa dua minit dan 36 saat.

Share