malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
'Sumpah' lama belenggu Slingers, tumpas pada Lions
ADS

ABL Sama seperti musim liga bola keranjang Asean Basketball League (ABL) yang lalu ketika berdepan Westports Malaysia Dragons, Singapore Slingers kalah dalam perlawanan kedua di final.

Kali ini, 'sumpah' ini tetap mengikuti pasukan Singapura itu yang turut kecundang dalam tangan Hong Kong Eastern Long Lions dengan lapan mata, 92-84.

Marcus Elliott dari Lions menjaringkan 26 mata, 6 rebound manakala Josh Boone pula mendapat 23 mata, 16 rebound.

Slingers dan Lions memenangi satu perlawanan masing-masing dan akan berentap lagi minggu ini di Singapura pada 21 dan 23 April.

Dengan prestasi Lions yang cukup mengecewakan dalam perlawanan pertama, mereka kembali dalam perlawanan kedua ini dengan lebih dinamik, menenggelamkan pihak lawan dari permulaan.

Lions bermula dengan full-court pressure dan menangkis rebound yang dikuasai Slingers dalam perlawanan lalu, memberikan kelebihan kepada Marcus Elliott untuk menjaringkan mata.

Slingers cepat membuat perubahan strategi untuk menawan full-court pressure dan menggilirkan pemain mereka untuk memadankan pemain dengan ketinggian yang agak sama. Slingers hanya ketinggalan satu mata di belakang Lions, 25-24.

Namun, perubahan strategi pertahanan daripada full-court ke pertahanan zon memberikan kelebihan untuk pasukan Lions dan pada masa yang sama, dua pemain utama Slingers, Xavier Alexander dan Justin Howard mendapat tiga foul.

Separuh masa pertama berakhir dengan Lions mudah menandini Slingers, 50-40.

Malang tidak berbau untuk Lions, ketika mereka masih selesa di hadapan Slingers, pemain import utama mereka dihukum dengan dua foul teknikal, lantas dikeluarkan dari gelanggang. Penyokong tempatan berang dengan tindakan pengadil.

Penyokong mula mengebu dan melontar botol air ke gelanggang atas keputusan pengadil itu. Perlawanan terhenti seketika dan diteruskan hingga akhir suku ketiga, 70-65.

Walaupun Lions 'kehilangan' Elliott dalam gelanggang, mereka mampu mempertahankan gelanggang mereka berkat gandingan pemain lokal Fong Shing Yee dan Chan Siu Wing bersama Steven Guinchard dan Josh Boone.

Slingers tidak dapat mengambil kesempatan daripada 'kehilangan' Elliott dari gelanggang malah tidak mampu menghentikan Lions merobek suku keempat daripada tangan mereka.

Minit-minit terakhir suku keempat melihat ramai pemain tercedera dan pemain dari kedua-dua pasukan 'direhatkan' kerana mendapat lima foul.

Antara yang turut direhatkan termasuk Justin Howard (Slingers), Fong Shing Yee dan Steven Guinchard dari Lions.

Kedua-dua pasukan akan berentap lagi dalam perlawanan ketiga pada Jumaat ini.

Lihat Komen