Penangan 'Jijoe', warga maya usik Adnan

(Dikemaskini )

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob hari ini membuat kejutan tersendiri apabila mengayuh basikal pulang ke rumahnya daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuantan.

Gambarnya dengan basikal Nordic Track bernilai RM1,600 itu kini tular di media sosial.

Memetik sumber, Bernama melaporkan basikal itu adalah hadiah hari jadinya ke-67 hari ini yang disampaikan oleh Yayasan Pahang.

Ia dilapor diserahkan kepadanya pada waktu rehat persidangan DUN di Wisma Sri Pahang.

"Beliau (Adnan) mengambil dan mengayuh basikal tersebut mengelilingi bangunan Wisma Pahang sebelum masuk semula ke dewan dengan wajah gembira.

"Semasa sidang berhenti rehat tengah hari, beliau pulang dengan mengayuh basikal ke rumahnya di Kubang Buaya selama hampir 25 minit tanpa disedari ahli-ahli DUN yang lain," sumber itu dipetik sebagai berkata.

Sumber juga berkata Adnan mengayuh kira-kira enam kilometer melibatkan laluan Jalan Gambut, Jalan Teluk Sisek sebelum ke Kubang Buaya dengan diiringi dua anggota polis trafik dan sebuah ambulans.

Terbaiklah Pak Long

Sementara itu, aksi Adnan mendapat pelbagai respon daripada pengguna Internet.

"MB Pahang berbasikal dari DUN ke rumah. Terbaiklah Pak Long Datuk Seri Adnan Yaakob," kata Muhammad Faiz Hashim di Facebooknya.

Laman Facebook Perkembangan Bolasepak Semasa turut berkongsi gambar Adnan itu.

Ia juga dikaitkan dengan penangan Azizulhasni Awang yang menjuarai acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia Khamis lalu.

"Penangan Jijoe (Azizul). MB Pahang pulang dari persidangan DUN dengan 'gateh' (kayuh) basikal dihadiahkan Yayasan Pahang sempena hari jadinya ke-67 hari ini

"Pst, suruh dia kayuh di tepi sikit. Sesak jalan berjujuk bersusun kereta di belakang," usik laman itu.


Artikel berkaitan

Share