malaysiakini logo
story-image
ADS

Kedah tak kebal lagi, malah rekod tanpa kalah mereka akhirnya lebur dengan kekalahan besar berdepan kelab T-Team dalam aksi kesembilan Liga Super 2017, sebentar tadi.

Kunjungan anak buah Tan Cheng Hoe ke Kuala Terengganu malam ini berakhir dengan nasib malang apabila tewas 0-5.

Aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu turut dihiasi dengan insiden kontroversi sedikit sebanyak pastinya kurang memuaskan hati penyokong Kedah.

Walaupun tampil menguasai permainan melalui hantaran-hantaran pendek, insiden kad merah melibatkan pertahanan kental Kedah iaitu Rizal Ghazali dilihat mengganggu emosi dan persembahan mereka.

Ditambah dengan ketiadaan arkitek tengah, Liridon Krasniqi menyukarkan Khairul Helmi Johari dan rakan-rakan membentuk rantaian dan serangan lebih ofensif.

Sebaliknya skaud Helang Merah dikejutkan dengan jaringan tuan rumah yang mencipta gol seawal minit ke-10 melalui sentuhan Dilshod Sharofetdinov.

Kelebihan satu gol itu seolah-olah mencetuskan semangat di kalangan pemain The Titans sekali gus mengimbangi rentak permainan skuad pelawat.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan di samping beberapa percubaan berjaya dihasilkan seiring dengan tempo rancak dipamerkan.

Namun, momentum Kedah disentap dengan insiden kad merah ke atas Rizal selepas pemain kelahiran Baling itu bertindak balas di atas kekasaran pemain T-Team terhadapnya.

Diawali tindakan Fakhrurazi yang dilihat memijak kaki pemain Kedah itu, disusuli tindak balas Rizal dengan tumbukan di bahagian belakang atau kepala pemain lawan.

Ketiadaan pemain terbaik Piala Malaysia 2016 itu memberi impak segera buat Kedah selepas T-Team membolosi gawang mereka buat kali kedua selepas kira-kira tiga minit insiden itu berlaku.

Nor Hakim Hassan tampil menggegarkan gawang Kedah menewaskan penjaga golnya Ifwat Ikmal Chek Kassim selepas menerima hantaran lintang Kamal Azizi Zabri.

Derita pasukan Kedah semakin dirasai di penghujung separuh masa pertama apabila Mamadou Samassa menjaringkan gol ketiga tuan rumah sebelum waktu rehat menjelang.

Kembali dari bilik persalinan untuk 45 minit kedua, Kedah kembali mengatur rentak permainan mereka dengan menguasai gerakan bola.

Bagaimanapun, beraksi dengan 10 pemain membuatkan Helang Merah 'patah sayap' di gelanggang lawan dan gagal mengekang gerakan balas pantas anak buah Rahmad Darmawan.

Nor Hakim muncul melengkapkan jaringan hatriknya melalui dua gol pada minit ke- 60 dan 64 sebelum keputusan berakhir dengan 5-0.

Keputusan itu bagaimanapun mengekalkan Kedah di tangga ketiga liga dengan kutipan 19 mata, manakala T-Team di kedudukan ketujuh dengan 13 mata.

Keputusan-keputusan lain:

JDT 2-1 PKNS FC
Melaka United 1-1 Felda United
Pahang 2-2 Selangor
P Pinang 1-5 Kelantan
Sarawak 3-3 Perak

Lihat Komen