malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Moral TRW lemah lepas pengadil beri JDT penalti
ADS

Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail, mengakui moral pemainnya yang lemah menjadi punca pasukan itu tewas di halaman sendiri pada aksi Liga Super menentang JDT di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.

Beliau berkata walaupun mereka mendahului JDT 2-0 pada awal permainan, namun disebabkan beberapa keputusan pengadil perlawanan Md Nazmi Nasaruddin, ia memberi kesan kepada pemain.

"Saya lihat semangat pemain saya mula lemah selepas pengadil perlawanan memberikan sepakan penalti kepada pasukan JDT pada minit ke-29.

"Sebagai seorang jurulatih, saya melihat mutu pengadil juga mencorakan permainan pasukan saya. Mungkin beberapa keputusan kurang tepat dilakukan oleh pengadil membuatkan pemain saya sedikit kecewa," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

Zahasmi berkata beliau menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi melakukan tindakan susulan berkaitan keputusan pengadil perlawanan tersebut kepada FAM.

"Mungkin pihak kami akan menghantar video perlawanan kepada FAM untuk diteliti kembali keputusan yang dilakukan oleh pengadil perlawanan terutamanya tindakan memberikan sepakan penalti kepada pasukan lawan.

"Walaupun kami mengetahui kami tidak boleh mempertikai keputusan pengadil, namun pihak kami akan melakukan sesuatu yang terbaik untuk dijadikan sebagai pengajaran," katanya.

Kelantan tewas 2-3 kepada JDT yang gol Kelantan dijaringan Muhamad Ghaddar pada minit ke-5 dan ke-15 manakala gol JDT dijaringkan Safiq Rahim pada minit ke-20, Gabriel Migual Guerra (penalti minit ke-29) dan Gonzalo Gabreil Cabrera minit ke-30.

Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT Benjamin Mora menyifatkan kemenangan mereka ke atas Kelantan merupakan bonus bagi pasukannya yang bermain di gelanggang lawan.

Beliau berkata menentang Kelantan adalah satu perlawanan yang sukar kerana pasukan tuan rumah mempunyai semangat yang tinggi untuk menang namun nasib tidak menyebelahi mereka.

Kelantan kekal berada pada kedudukan keenam liga selepas sembilan perlawanan dengan mengumpul 12 mata hasil daripada empat kemenangan dan lima kalah.

- Bernama

Lihat Komen