malaysiakini logo
story-image
ADS

Reman terhadap seorang bookie disambung selama lima hari bermula esok bagi membantu siasatan rasuah berhubung isu mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana membabitkan kelab Majlis Sukan India
Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA).

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengeluarkan perintah reman itu di Mahkamah Majistret di Putrajaya terhadap lelaki berusia 49 tahun itu yang sebelum ini direman enam hari sejak 7 April lepas.

Bagaimanapun, tiga pemain kelab tersebut termasuk seorang pemain import yang direman sebelum ini dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM50,000 setiap seorang.

Ketiga-tiga suspek, dua pemain tempatan masing-masing berusia 26 and 27 tahun dan pemain import Argentina berusia 29 tahun, direman tujuh hari sejak 6 April lepas.

Kesemua suspek tiba di mahkamah pada pukul 9.20 pagi ini dengan memakai baju lokap SPRM.

SPRM menahan bookie itu pada 5 April lalu selepas didakwa menawarkan sejumlah wang dengan nilai ribuan ringgit kepada pemain kelab itu untuk menentukan keputusan perlawanan Liga Perdana musim ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang membawa kepada hukuman denda lima kali ganda nilai suapan dan penjara maksimum 20 tahun.

Menurut sumber, siasatan awal sebelum ini mendapati pemain berkenaan menerima antara RM10,000 hingga RM30,000 daripada bookie untuk mengatur perlawanan. -Bernama

Lihat Komen