malaysiakini logo
story-image
ADS

Beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang kini menduduki tangga keempat dunia perlu mengambil serius kemerosotan itu agar peluang mereka beraksi di Kejohanan Badminton Dunia di Scotland, Ogos ini, tidak terjejas.

Mengikut ranking terkini dunia yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada 6 April, V Shem-Wee Kiong yang sebelum ini menduduki tangga kedua, jatuh dua anak tangga selepas sekadar menamatkan saingan di suku akhir Kejohanan All England dan Terbuka India pada Mac lalu.

Paling mengejutkan, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu dimalukan di halaman sendiri oleh pasangan bukan pilihan dari Hong Kong, Tang Chun Man-Or Chin Chung 17-21, 21-23 seawal pusingan pertama Kejohanan Terbuka Malaysia di Kuching, Sarawak, minggu lepas.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata V Shem-Wee Kiong perlu memastikan kedudukan mereka terus terus kekal sekurang-kurangnya dalam kelompok lima dunia.

"Kami (BAM) sangat kecewa dengan prestasi mereka yang tidak konsisten. V Shem dan Wee Kiong perlu kembali fokus di gelanggang dan memenangi perlawanan siri super yang lain selepas ini.

"Kita tidak mahu ranking dunia mereka ini terus jatuh sehingga menjejaskan peluang untuk beraksi di Kejohanan Dunia nanti," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Hanya lapan pemain terbaik dunia layak beraksi di Kejohanan Dunia di Scotland yang akan diumumkan oleh BWF, Mei depan.

V Shem-Wee Kiong perlu menunjukkan perkembangan positif dalam Kejohanan Badminton Terbuka Singapura yang berlangsung hari ini sehingga Ahad.

Prestasi merosot beregu negara itu turut mendapat teguran daripada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dalam laporan media tempatan hari ini.

Khairy berkata soal konsistensi merupakan faktor penting yang perlu menjadi fokus kepada pemain terbaik dunia lebih-lebih lagi V Shem-Wee Kiong yang meraih pingat perak di Sukan Olimpik namun hambar di laman sendiri.

- Bernama

Lihat Komen