malaysiakini logo
story-image
ADS

Juara badminton dunia perseorangan wanita 2013, Ratchanok Intanon memutuskan untuk tidak mengambil bahagian dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, sebaliknya menyertai Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland.

Ratchanok, 22, yang juga juara remaja dunia tiga kali berturut-turut dari 2009-2011, tidak teragak-agak memilih Kejohanan Dunia walaupun pingat emas Sukan SEA mampu diraihnya dengan mudah.

"Saya tetap pilih Kejohanan Dunia," kata pemain Thailand itu kepada Bernama selepas sidang media kejohanan Terbuka Singapura yang mana beliau adalah juara bertahan, di Singapura hari ini.

Pilihan itu tiada kaitan dengan pertembungan tarikh kedua-dua acara tetapi bintang kelahiran wilayah Yasothon, 550 kilometer dari Bangkok, mahu merampas kembali gelaran dunia yang dimenanginya empat tahun lalu di Guangzhou, China.

Acara badminton Sukan SEA akan dilangsungkan dari 22-30 Ogos manakala Kejohanan Dunia pula berlangsung dari 21-27 Ogos.

Ratchanok belum pernah memenangi pingat emas individu Sukan SEA selepas tewas di final 2009 kepada rakan sepasukannya yang lebih senior, Salakjit Ponsana manakala meraih pingat gangsa pada 2011.

Namun beliau menyumbang emas Sukan SEA bagi acara berpasukan wanita untuk Thailand pada 2011 dan 2015.

Ratchanok dianggap pemain wanita paling berjaya di rantau ini dengan menjuarai gelaran remaja dunia pada usia 14 tahun pada 2009 di Alor Setar, Kedah sebelum muncul juara dunia pada 2013.

Ditanya nasihatnya kepada pemain wanita Asia Tenggara, Ratchanok menerusi seorang jurubahasa menegaskan 'perlu ada keazaman dan fokus'.

Beliau turut berkongsi rahsia kejayaannya apabila menyatakan mempelajari skil daripada lawannya menerusi Youtube.

"Saya perlu menukar corak permainan dalam setiap perlawanan," katanya sambil menegaskan sudah 99 peratus sedia mempertahankan gelarannya di Terbuka Singapura yang bermula esok hingga Ahad.

-Bernama

Lihat Komen