malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
ADS

Dua kali meraih pingat emas Olimpik dan menjulang kejuaraan Terbuka Malaysia adalah kejayaan cukup manis buat jaguh badminton dunia, Lin Dan.

Dengan merangkul kejuaraan pertama Terbuka Malaysia, kejayaan ini ini cukup manis bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk anaknya.

Lin Dan baru menimang cahaya mata bersama Xie Xingfang juga merupakan bekas pemain badminton nombor satu dunia pada November tahun lalu. 

"Ini adalah suatu perasaan yang agak menakjubkan untuk diri saya sendiri.

"Walaupun berumur 34 tahun, saya memang masih berhasrat untuk terus bermain...supaya anak saya yang kecil dapat menonton saya beraksi kelak," kata Lin Dan ketika sidang media.

Lin tahu bahawa ramai peminat telah lama menantikan pertemuan antara beliau dan Chong Wei semenjak perlawanan pingat emas Olimpik di Brazil.

"Walaupun Chong Wei masih mengalami kecederaan lututnya, prestasinya sangat konsisten sejak lapan bulan yang lalu. Perlawanan saya dan Chong Wei cukup bersemangat dan kami telah buat yang terbaik dalam kejohanan ini.

"Tidak kira menang atau tidak, saya sangat menghargai peluang berentap bersama Chong Wei. Lagipun, usia kami bukan muda lagi seperti dulu dan peluang untuk bertanding semakin kurang dengan umur kami yang semakin lanjut," tambah Lin.

Sambutan meriah peminat

Ketika ditanya wartawan di Kuching, Lin merasakan sambutan para peminat yang menyaksikan perlawanan akhir kali ini sangat baik khususnya peminat tempatan yang menyorak namanya dalam setiap perlawanan.

"Ya, memenangi kejuaraan kali ini di Malaysia amat bermakna untuk saya bertemu Chong Wei dan tidak disangka-sangka, ramai juga penyokong saya di sini.

Lin pernah merasai layanan yang 'kurang mesra' ketika Terbuka Malaysia pada tahun 2006, tetapi kini disambut meriah oleh peminat-peminat tempatan.

"Dalam hati saya, tiada bezanya kejohanan besar atau kecil lagi. Yang penting, saya telah melakukan yang terbaik mewakili China dalam mana-mana kejohanan.

"Kedua, saya memang berhasrat untuk bertemu Chong Wei dalam perlawanan akhir kali ini, seperti yang dinanti-nantikan oleh ramai peminat di China dan Malaysia," ujar Lin.

Hasrat untuk bersara

Persaraan yang sering diwar-warkan antara Chong Wei dan Lin Dan sering dilontarkan tetapi dia sekali lagi menolak kemungkinan itu.

"Saya belum mengumumkan lagi. Saya dan Chong Wei perlu menyertai banyak kejohanan tetapi perlu memilih kejohanan yang sesuai.

"Saya harap dapat membuat sedaya upaya dalam setiap kejohanan tahun demi tahun," katanya.

Lin juga memberitahu dia masih perlu membuat perancangan yang rapi kerana semakin ramai pemain muda yang baik dari China.

"Berbeza pula situasinya untuk Chong Wei kerana hanya dia seorang yang mewakili Malaysia," katanya.

Lin Dan telah memenangi 64 kejuaraan terbuka manakala Chong Wei pula meraih 55 kejuaraan. Hubungan baik dan sejarah perseteruan antara mereka menjadi ikutan ramai di arena badminton.

"Saya akan teruskan, walaupun baru menang kejohanan terbuka di Malaysia. Satu demi satu langkah."

Ketika ditanya adakah beliau akan bersara bersama Chong Wei pada waktu yang sama, Lin bergurau dengan wartawan dia akan menghantar mesej nanti.

"Tunggu bila saya mendapat telefon bimbit, saya akan hantar mesej itu kepada kamu semua nanti," katanya dengan nada bergurau.

Lihat Komen