malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Felda United belasah Ceres Negros
Diterbitkan:  Apr 4, 2017 6:34 PM
Dikemaskini: 10:54 AM
ADS

Saingan peringkat kumpulan Piala AFC 2017 hari ini menyaksikan Felda United berjaya menewaskan pendahulu Kumpulan G, Ceres Negros FC 3-0, di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Anak buah B Sathianathan membuktikan mereka masih mempunyai peluang untuk meraih tempat dalam kumpulan ke pusingan seterusnya.

Pada aksi timbal balik itu, skuad The Fighters berjaya membolosi gawang pelawat seawal minit keenam separuh masa pertama.

Bola hantaran Mohd Hadin Azman berjaya disempurnakan Syahid Zaidon dari luar kotak penalti hasil dengan rembatan kencang kaki kanannya.

Percaturan Sathianathan kali ini nampaknya menjadi selepas Felda United mengharungi tiga perlawanan lalu tanpa sebarang kemenangan.

Malah, mereka sekadar seri tanpa jaringan ketika berdepan wakil Filipina itu di Manila pada 15 Mac lalu.

Aksi separuh masa kedua menyaksikan tuan rumah terus memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri apabila berjaya menjaringkan gol kedua melalui Mohd Hadin pada minit ke-67.

Beberapa minit selepas menjaringkan gol, Sathianathan mengeluarkan Mohd Hadin yang digantikan dengan Fazrul Hazli.

Tindakan bekas jurulatih kebangsaan itu sekali lagi membuahkan hasil apabila Fazrul turut merekod nama sebagai penjaring untuk kedudukan lebih selesa 3-0 sehingga wisel pengadil bertiup panjang.

Kemenangan wakil Malaysia itu meletakkan mereka di tangga teratas kumpulan dengan mengutip lima mata selepas empat perlawanan.

Kedudukan itu bagaimanapun bergantung pada perlawanan melibatkan dua lagi pasukan itu Tampines Rovers dan Hanoi FC.

Felda United yang berpangkalan di Jengka, Pahang itu perlu berdepan dua perlawanan lagi bagi menentukan nasib mereka untuk layak ke peringkat seterusnya.
 

Lihat Komen