malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Al-Amin, Norza diminta berkompromi isu presiden
Diterbitkan:  Mar 22, 2017 1:19 PM
Dikemaskini: 5:23 AM
ADS

Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria diminta berkompromi dalam perebutan jawatan presiden badan induk itu.

Presiden Persatuan Badminton Negeri Sembilan (NSBA), David Wee Toh Kiong meminta kedua-dua pihak menyelesaikan perkara itu secara kekeluargaan dan mengekalkan hubungan harmoni di antara mereka.

Menurutnya, kedua-dua mereka memberi sumbangan yang tidak ternilai dan telah berkhidmat dengan cemerlang bersama BAM.

"Malah, mereka banyak memberi inspirasi sehingga badminton berjaya meraih tiga pingat perak pada Sukan Olimpik Rio tahun lepas.

"Ambillah jalan terbaik bagi mencapai satu keputusan yang dapat memuaskan semua pihak. Tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan jika masing-masing boleh bertolak-ansur," katanya dalam satu kenyataan di Seremban hari ini.

David berkata setahunya anggota Majlis BAM tidak mahu ada pertandingan atau perebutan untuk jawatan tertinggi persatuan itu.

Namun tegasnya, anggota majlis tidak boleh menentukannya kerana keputusan berada di tangan kedua-dua pemimpin kanan BAM itu.

"Jika kami (anggota Majlis BAM) perlu membuat keputusan, maka ia akan menjadi sesuatu yang sukar dan saya fikir keadilan dan kebenaran akan mengatasinya," katanya.

David yang juga Naib Presiden BAM berkata BAM adalah persatuan yang berjaya kerana mempunyai kakitangan, pemain dan jurulatih yang berdedikasi.

"Kami sebagai pegawai boleh menyokong mereka ke arah kejayaan. Namun tiada seorang pun daripada kami boleh mengambil pujian penuh atas pencapaian mereka kerana pengorbanan dan kesakitan adalah daripada mereka," katanya.

-Bernama

Lihat Komen