Harimau Kumbang disuntik perubahan drastik


(Dikemaskini )

Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) tetap optimis dalam usaha memulih dan meningkatkan prestasi skuad Harimau Kumbang.

Presidennya, Zairil Khir Johari berkata, beberapa perubahan drastik akan dilakukan dan perkara tersebut bakal diumumkan dalam masa terdekat.

"Bagi menangani kemelut prestasi pasukan Pulau Pinang yang tidak memberansangkan setakat ini, beberapa keputusan besar telah dibuat.

"Tengoklah dalam sehari dua lagi," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Skuad kendalian Ashley Westwood kini dilihat perlu menekan 'butang panik' selepas mengharungi lapan perlawanan tanpa sebarang kemenangan.

Baru mengutip dua mata hasil keputusan seri, mereka kini berada di tangga tercorot Liga Super dan berdepan dengan penyingkiran ke Liga Perdana.

Susulan itu, penyokong Pulau Pinang menuntut supaya langkah segera dilakukan bagi meningkatkan prestasi pasukan termasuk mendesak supaya Westwood dipecat.

Malah, segelintir mereka juga turut menggesa Zairil mengundurkan diri daripada jawatannya di FAP.

Sementara itu walaupun enggan mendedahkan butiran lanjut perubahan bakal diambil, beliau memberi isyarat bahawa perkara itu boleh dijangka para penyokong.

"Penyokong Harimau Kumbang mungkin boleh menghidu perubahan yang bakal diambil pengurusan persatuan.

"Keputusan (perubahan) ini dibuat dengan mengambil kira segala kepentingan termasuk situasi kewangan, pendapat penyokong serta penilaian dalaman FAP.

"Perinciannya kita akan umumkan pada masa sesuai, dalam sehari dua lagi akan ada pengumuman," jelasnya.

#}