malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Gimnas negara antara terbaik SPM 2016
Diterbitkan:  Mar 16, 2017 4:07 PM
Dikemaskini: 8:46 AM
ADS

Bukan mudah membahagikan masa antara belajar, bertanding dan latihan tetapi Shak Yuki membuktikan segala pengorbanannya berbaloi apabila mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016.

Gimnas remaja negara berusia 17 tahun itu yang diserapkan dalam Program Kita Juara adalah antara tiga pelajar cemerlang Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dengan memperoleh 7A dan 2B.

"Keputusan cemerlang ini adalah suntikan semangat terbaik untuk saya dan rakan sepasukan yang kini membuat persiapan menghadapi Sukan SEA," kata atlet kelahiran Kuala Lumpur itu kepada pemberita ketika ditemui di SSBJ Kuala Lumpur hari ini.

Program Kita Juara adalah program khas yang diadakan Majlis Sukan Negara bagi menyediakan atlet untuk mencapai sasaran muncul juara keseluruhan di temasya Sukan SEA pada Ogos nanti.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Connaught, Cheras itu kini menyasarkan untuk mendapat keputusan yang lebih baik pada temasya dwitahunan itu selepas gagal beraksi di edisi 2015 di Singapura akibat kecederaan lutut.

Berkongsi pandangan sama, atlet pelapis renang kebangsaan, Asmalia Filzati Redzuan, 17, yang memperoleh 8A dan 1B yang mendedikasikan kejayaan tersebut kepada ibu bapanya yang banyak memberi sokongan moral selama ini.

"Pihak sekolah sudah menyediakan jadual kelas dan pertandingan, jadi ia memudahkan saya untuk membahagikan masa.

"Waktu pagi, kami akan mengikuti kelas, menjalani latihan pada waktu petang sebelum membuat ulangkaji berkumpulan pada waktu malam," kata bekas pelajar SMK Convent Klang itu.

Bagi atlet olahraga, Ng Yong Jie, 17, keputusan 8A dan 2B adalah sesuatu yang melegakan selepas kecederaan siku menyebabkannya tidak dapat menyertai sebarang pertandingan ketika ini.

Atlet kelahiran Batu Pahat yang berada dalam Program Sukan SSBJ berkata ketika ini beliau masih dalam proses pemulihan.

Sementara itu, Pengetua SSBJ, Asmad Ahmad menyifatkan kejayaan manis yang dicatat tiga pelajar berkenaan membuktikan program yang dijalankan sekolah tersebut membuahkan hasil positif.

Katanya, peratusan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2016 bertambah sebanyak 0.54 peratus kepada 5.40 peratus berbanding 2015.

"Secara keseluruhan, hampir semua subjek telah menunjukkan peningkatan bagi pelajar yang belajar di sini.

"Walaupun sibuk dengan latihan dan kejohanan di luar, mereka telah mencapai satu keputusan membanggakan untuk sekolah," kata Asmad.

-Bernama

Lihat Komen