malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Prestasi Melaka United kecewakan MB
Diterbitkan:  Mar 16, 2017 12:19 PM
Dikemaskini: 4:22 AM
ADS

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) Datuk Seri Idris Haron kecewa dengan prestasi hambar pasukan berkenaan dalam saingan Liga Malaysia, sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata semua pihak, sama ada pengurusan mahupun pemain Melaka United perlu mengambil inisiatif memperbaiki segala kelemahan jika tidak mahu dianggap sebagai pasukan belasahan.

"Kita tidak mahu pasukan lawan beranggapan Melaka United adalah pasukan belasahan, dan mereka pasti akan menang setiap kali bertemu kita. Justeru, semua pihak perlu memandang serius bagi memperbetulkan keadaan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Melaka, semalam.

Terbaharu, Melaka United gagal menempah slot ke suku akhir Piala FA 2017 selepas tewas 0-2 kepada Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu lepas.

Sementara dalam saingan Liga Super, skuad Sang Kancil kini berada di kedudukan ke-10 selepas mengutip lapan mata daripada lapan perlawanan.

Mengulas dakwaan bahawa terdapat bookie yang mengatur perlawanan membabitkan pasukan Melaka United, Idris berkata dakwaan tersebut perlu disiasat bagi mengetahui kebenarannya.

"Ini rasuah yang tidak boleh diterima, mesti dinyahkan oleh pihak pengurusan, laporkan kepada pihak berkuasa dan ambil tindakan supaya menjadi pengajaran kepada yang lain.

"Saya akan pastikan siapa yang mempunyai agenda menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan rasuah seperti mengatur permainan, saya akan pastikan mereka berdepan tindakan undang-undang. Ini amaran keras daripada saya," tegasnya.

-Bernama

Lihat Komen