malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Felda United kutip mata kedua
Diterbitkan:  Mar 15, 2017 9:32 PM
Dikemaskini: 2:03 PM
ADS

Kemenangan ternyata belum menjadi milik Felda United selepas perlawanan ketiga Piala AFC, peringkat kumpulan G, sebentar tadi.

Bagaimanapun skuad bimbingan B Sathianathan sekurang-kurangnya mengutip satu mata apabila seri 0-0 berdepan Ceres Negros.

Aksi di Stadium Pana-ad, Bacolod, Filipina itu terpaksa diharungi dalam keadaan hujan lebat.

Skuad The Fighters diujian seawal sepak mula 45 minit pertama, namun percubaan pemain lawan pada minit keenam itu berjaya ditangkap kemas Farizal Harun.

Ceres yang beraksi di hadapan penyokong sendiri dilihat tampil menguasai bola, namun Shukor Adan dan rakan-rakan berjaya menyekat asakan demi asakan terarah ke kawasan kotak penalti Felda United.

Di posisi serangan, anak buah Sathianathan tetap memberi tekanan hebat kepada benteng pertahanan lawan.

Kelibat Shahrul Idlan Talaha, Lucas Cano dan Zah Rahan Krangar bagaimanapun diawasi begitu rapi.

Babak separuh masa kedua menyaksikan peluang terhidang buat The Fighters selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-59.

Ia susulan kekasaran dilakukan pemain Ceres terhadap Shahrul Idlan yang cuba memperdayakan lawan dalam petak penalti.

Sayangnya, sepakan diambil Cano berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Ronald Muller.

Keputusan berakhir tanpa jaringan itu terus meletakkan Felda United di tangga tercorot kumpulan dengan kutipan dua mata.

Selepas ini, mereka akan melayan kunjungan balas wakil dari Filipina itu untuk perlawanan keempat dijadualkan pada 4 April depan.

Sementara itu, dalam satu lagi saingan kumpulan G menyaksikan Hanoi FC mengatasi Tampines Rovers FC dengan keputusan 4-0.

 

Lihat Komen