malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
JDT takluk Global di Larkin
Diterbitkan:  Mar 14, 2017 10:38 PM
Dikemaskini: 3:25 PM
ADS

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin - JDT mencatatkan kemenangan mudah 4-0 berdepan Global FC, sebentar tadi.

Aksi kumpulan F Piala ACF 2017 itu meletakkan skuad Harimau Selatan terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kumpulan dengan kutipan tujuh mata.

Anak buah Benjamin Mora pada awal permainan dilihat tampil seimbang dengan prestasi lawan.

Taktikal kedua-dua pasukan seakan sama, namun JDT berkelebihan dengan tempo dan gerakan pantas ketika berada di berhampiran kotak penalti wakil dari Filipina itu.

JDT tampil menguasai bola melalui jentera tengah sekali gus menuntut kerja keras benteng pertahanan lawan.

Namun, kelicikan Safiq Rahim dan rakan-rakan sukar dibendung.

Hasilnya kunjung tiba pada minit ke-30, dengan ruang terhad diasak pemain Global FC - Mahali Jasuli bijak melepaskan tendangan padu menewaskan penjaga gol pasukan pelawat untuk jaringan pertama mereka. 

Kira-kira empat minit berselang, tuah terus menyebelahi Harimau Selatan untuk kedudukan lebih selesa melalui gol sepakan penalti dihadiahkan pengadil perlawanan.

Safiq memanfaatkan peluang atas kesilapan pemain pertahanan Global FC mengasari penyerang JDT sekali gus meletakkan kedudukan 2-0 separuh masa pertama.

Kembali ke padang untuk 45 minit kedua, penguasaan Harimau Selatan kembali diseimbang dengan permainan pasukan lawan.

Beberapa percubaan berjaya dicipta kedua-dua pasukan, namun terbukti pertahanan JDT lebih kemas menghalang kemaraan serangan Global FC.

Pada fasa akhir tempoh perlawanana, Brian Ferreira tampil mencatatkan namanya sebagai penjaring gol ketiga JDT.

Walaupun selesa dengan kedudukan 3-0, juara musim 2015 itu terus menambah derita lawan dengan gol keempat di minit-minit kecederaan.

Tandukan Marcos Antonio menyambut sepakan bebas rakan sepasukan gagal ditepis penjaga gawang pelawat sebelum wisel penamat ditiupkan pengadil.

Selepas ini JDT bakal berdepan pasukan sama sebagai pelawat di Manila pada aksi timbal balik dijadualkan pada 5 April depan.

 

Lihat Komen