malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Bintang Chelsea pilih main di Persib Bandung
Diterbitkan:  Mar 14, 2017 2:16 PM
Dikemaskini: 6:18 AM
ADS

Selepas sekadar menyaksikan kelibatnya di kaca televisyen ketika Liga Perdana Inggeris berlangsung, rupa-rupanya Michael Essien kini sedang meneruskan kerjaya di negara jiran - Indonesia.

Bekas bintang Chelsea itu sudah menyertai pasukan Persib Bandung yang bersaing dalam Liga Super Indonesia.

Selepas meninggalkan The Blueas, pemain kelahiran Ghana itu berkhidmat di Real Madrid secara pinjaman selama satu musim sebelum ke AC Milan (Itali) dan Panathinaikos (Greece).

Sementara itu, pengesahan kehadiran Essien ke Persib Bandung dikhabarkan melalui Twitter rasmi kelab itu.

"Wilujeng sumping! Michael Essien resmi jadi sebahagian keluarga besar Persib," tulis akaun @persib.

Akuan Twitter itu juga memaklumkan Essien akan menggunakan jersi bernombor lima bersama kelab berkenaan.

Bagaimanapun, tiada maklumat mengenai gajinya bersama pasukan gergasi Indonesia itu.

Media Indonesia melaporkan, bekas pemain Lyon itu juga sudah berada di Jakarta sejak akhir minggu, sekali gus menguatkan tanggapan dia akan bergabung dengan Persib.

Terdahulu, kehadiran pemain itu sudah tular di media sosial dengan kemunculan gambar-gambarnya berada di sebuah pusat beli-belah di Senayan, Jakarta Selatan.

Perjalanan karier Essien di Eropah ternyata kurang lancar selepas hubungan antara Essien dan Panathinaikos tidak berjalan dengan baik. Dia hanya bertahan satu musim di kelab itu.

Essien bergabung dengan Panathinaikos sejak Jun 2015. Namun, pemain tengah berusia 34 tahun itu gagal memenuhi harapan kelab susulan kecederaan panjang dialaminya.

Susulan itu, Panathinaikos memecat Essien pada musim panas 2016 walaupun masih mempunyai kontrak sehingga dua musim akan datang.

Namun, rekod paling cemerlangnya adalah ketika bersama Chelsea. Dia berjaya membantu pasukan meraih trofi Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-juara.

Lihat Komen