malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Piala Asia 2019: Jangan keruhkan keadaan, kata Khairy
Diterbitkan:  Mar 9, 2017 5:45 PM
Dikemaskini: 11:00 AM
ADS

Malaysia tidak akan mengambil tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan berhubung perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 antara Harimau Malaysia menentang Korea Utara, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Mengulas gesaan beberapa pihak yang mahu Malaysia memboikot perlawanan pembukaan kumpulan B itu, beliau mengingatkan bahawa masih terdapat beberapa orang rakyat Malaysia yang masih berada di Korea Utara selepas rejim Pyongyang tidak membenarkan mereka keluar dari negara itu.

"Apa sahaja tindakan kita sama ada diplomatik atau berkaitan sektor lain seperti perdagangan dan sukan, jangan kita buat apa-apa yang boleh meningkatkan lagi keadaan tegang yang ada di antara kedua-dua negara," katanya kepada media selepas program 'TN50x: Dialog Bersama Usahawan Muda' di Cyberjaya hari ini.

Tanpa menjelaskan pendirian sama ada bersetuju atau tidak berhubung gesaan boikot berkenaan, Khairy bagaimanapun berpendapat polemik boikot tidak akan membantu keadaan.

Kerajaan sebelum ini melarang skuad bola sepak kebangsaan daripada pergi ke Pyongyang untuk beraksi dalam perlawanan yang dijadual pada 28 Mac atas faktor keselamatan berikutan konflik membabitkan kedua-dua negara.

Susulan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memohon kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk mengadakan perlawanan di gelanggang berkecuali.

Khairy berkata beliau juga sedang menunggu perkembangan berhubung permohonan FAM kepada AFC itu.

Untuk rekod, Malaysia pernah memboikot Sukan Olimpik Moscow 1980 sebagai membantah serangan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan.

Dalam pada itu, Khairy berkata beliau kagum dengan keupayaan pelari pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, yang memecahkan rekod kebangsaan 100 meter dengan catatan 11.45saat yang dibuat pada Kejohanan ASA Speed Series 2, Bloemfontein, Afrika Selatan, awal pagi tadi.

Beliau berkata kejayaan itu, yang sekali gus memadamkan rekod lama 11.50s yang dipegang bekas ratu pecut negara G. Shanti selama 24 tahun, membawa petanda cerah untuk atlet pecut negara menaiki podium pada Sukan Sea Ogos ini.

- Bernama

Lihat Komen