malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Chong Wei ke suku akhir kedua All England
ADS

Pemain perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei mengetuai cabaran negara mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton All England yang berlangsung di Birmingham.

Pemain nombor satu dunia itu memerlukan 35 minit untuk mengenepikan pemain Perancis Brice Leverdez, 21-15, 21-12.

Chong Wei, yang juga pilihan utama kejohanan, akan berdepan dengan pemain ranking ke-25 dunia, Wang Tzu Wei dari Taiwan yang sebelum itu menewaskan Wei Nan dari Hong Kong 17-21, 21-19, 21-14.

Seorang lagi pemain negara, Zulfadli Zulkiffli terpaksa akur dengan kehebatan jaguh dari China, Lin Dan apabila tewas 11-21, 1 -21.

Turut mara ke pusingan kedua beregu lelaki negara Goh V Shem/Tan Wee Kiong yang mengalahkan pasangan Jepun Takuro Hoki/Yugo Kobayashi 21-15, 21-18.

Beregu yang berada di ranking pertama dunia itu akan berdepan gandingan baharu dari China Liu Xiaolong/Xu Chen yang sebelum itu mengalahkan pasangan Jepun Hiroyuki Endo/Yuta Watanabe 21-17, 21-14.

Gandingan Vivian Ho/Woon Khei Wei pula terpaksa bekerja keras sebelum berjaya menyingkirkan pasangan Thailand Puttita Suparijakul/Sapsiree Taerattanachai untuk mara ke pusingan kedua.

Pasangan beregu wanita negara bertarung selama satu jam, 17 minit sebelum menewaskan pasangan Thailand dengan 18-21, 21-11, 21 17.

Beregu wanita yang berada di ranking ke-11 dunia itu akan berdepan saingan sengit daripada pilihan ketiga Jung Kyung Eun/Shin Sung Chan dari Korea Selatan yang mengenepikan satu lagi beregu Thailand, Jongkolphan Kititharakul/Rawinda Prajongjai, 21-19, 21-19.

Satu lagi pasangan beregu wanita negara, Ong Yew Sin/Teo Ee Yi bagaimanapun terkandas selepas tunduk kepada beregu Taiwan Lu Ching Yao/Yang Po Han 14-21, 21-13, 18-21.

Sementara itu, beregu campuran negara mempamerkan aksi meyakinkan apabila kedua-dua gandingan Chan Peng Soon/Goh Liu Ying dan Tan Kian Meng/Lai Pei Jing mara ke pusingan kedua.

Peng Soon/Liu Ying yang diletakkan sebagai pilihan keenam kejohanan menang mudah ke atas pasangan dari Sweden Nico Ruponen/Amanda Hogstrom 21-12, 21-19 untuk berdepan saingan dari China Zhang Nan/Li Yinhui.

Kian Meng/Pei Jing yang diletakkan selaku pilihan kelapan pula memerlukan 34 minit untuk menewaskan lawan dari Taiwan, Lu Ching Yao/Chiang Kai Hsin 21-14, 21-19.

Gandingan yang kini berada di ranking kesembilan dunia itu dijangka menghadapi saingan sengit apabila berdepan gandingan baharu dari Korea Selatan Yoo Yeon Seong/Kim Ha Na yang sebelum itu mengalahkan Pranaav Jerry Chopra/N.Sikki Reddy dari India 21-19, 22-20.

-Bernama

Lihat Komen