malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
JDT, Felda United 'cuai' di minit akhir
Diterbitkan:  Mar 7, 2017 7:13 PM
Dikemaskini: 11:40 AM
ADS

Nasib dan situasi sama dihadapi dua wakil Malaysia dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan saingan Piala AFC 2017, hari ini.

Cabaran Kumpulan F menyaksikan JDT dihukum di minit-minit akhir dalam aksi di Pusat Latihan Belia Thuwanna, Yangon berdepan wakil Myanmar, Magwe FC.

Beraksi dengan 10 pemain di awal 45 minit pertama menjadi ujian awal yang terpaksa dihadapi skuad Harimau Selatan.

Ia susulan kad merah dikenakan kepada Hasbullah Abu Bakar pada minit ke-13 yang dikesan mengasari pemain lawan.

Keadaan itu memaksa anak buah Benjamin Mora lebih berwaspada di samping memperkemaskan benteng pertahanan.

Diiringi keadaan cuaca panas terik, jentera JDT diketuai Aidil Zafuan Abd Radzak awalnya lebih mendominasi permainan.

Dengan tempo sederhana, Harimau Selatan kali ini lebih banyak mengikut rentak permainan pasukan lawan.

Kekurangan seorang pemain mungkin menjadi alasan untuk Mora tidak mendesak anak buahnya lebih agresif.

Namun, menggunakan aliran bola dari posisi tengah dan sayap kanan memberi kelebihan untuk menekan pertahanan pasukan tuan rumah.

Magwe FC pula lebih selesa dengan hantaran-hantaran jauh sesekali tampil dengan gerak balas pantas cuba memperdayakan benteng pertahanan JDT.

Bagaimanapun, Harimau Selatan berjaya mengejutkan Magwe FC pada minit ke-28 melalui sentuhan R Gopinanthan memanfaatkan umpanan S Chanturu untuk kedudukan 1-0 separuh masa pertama.

Kembali dari bilik persalinan untuk separuh masa kedua, barisan pemain JDT kelihatan sedikit longlai malah tidak agresif dalam mengatur rentak permainan.

Mereka lebih banyak bertahan dan memberi ruang Magwe FC menguasai bola sekali gus melakukan asakan demi asakan.

Beberapa percubaan berjaya dihasilkan menguji ketangkasan Farizal Marlias dengan bantuan rakan-rakan posisi pertahanan.

Bagaimanapun, taktikal itu akhirnya menghukum JDT sendiri apabila gol penyamaan tuan rumah hadir beberapa minit sebelum wisel tamat perlawanan ditiupkan pengadil.

Kesilapan pemain pertahanan JDT berjaya dimanfaatkan penyerang lawan, Sylla Sekou untuk Magwe FC sekurang-kurangnya mengutip satu mata dengan keputusan seri 1-1.

Keputusan itu menjadikan JDT mengumpul empat mata selepas dua perlawanan.

Sementara itu, di Stadium Shah Alam menyaksikan situasi lebih kurang sama dihadapi Felda United ketika melayan kunjungan Hanoi FC dalam saingan kumpulan G.

Tampil mendahului permainan dengan jaringan 1-0, bagaimanapun gagal dipertahankan anak buah B Sathianathan di penghujung separuh masa kedua.

Beraksi dalam keadaan padang becak, skuad The Fighters terpaksa akur dengan kutipan satu mata pertama sekali gus berada di kedudukan terakhir kumpulan.


 

Lihat Komen