malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Malaysia bergaya ke suku akhir Liga Hoki Dunia
ADS

Skuad kendalian Stephen van Huizen melangkah ke peringkat suku akhir dengan bergaya apabila membelasah Fiji 11-1 dalam perlawanan Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh, hari ini.

Menentang pasukan di ranking ke-44 dunia di Stadium Hoki Moulana Bhasani, skuad negara ternyata menguasai perlawanan sejak wisel pertama dibunyikan dan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada minit kedua menerusi jaringan padang Sharil Saabah dan diikuti Rashid Baharom seminit kemudian.

Skuad hoki negara kemudian memperoleh tiga gol berturut-turut pada minit ke-10, 11 dan 12, masing-masing menerusi Tengku Ahmad Tajuddin, Fitri Saari dan Shahril.

Pada suku kedua, Razie Rahim bijak menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-17 dan Rashid menggandakan jaringan pada minit ke-22 sebelum Shahril melengkapkan hatrik beliau pada minit ke-23 menerusi jaringan gol padang.

Dalam keasyikan mengatur serangan, pasukan negara sedikit alpa apabila membenarkan Jerome Edwards meloloskan diri bagi jaringan gol tunggal Fiji pada minit ke-29.

Fitri menambah derita Fiji apabila menyumbat dua lagi jaringan menerusi pukulan penalti (min 55) dan pukulan sudut penalti minit ke-58.

Shahril melengkapkan hari cemerlang negara dengan menjaringkan gol keempat peribadinya pada minit ke-59 menerusi jaringan padang.

Pasukan negara dilihat mempunyai peluang cerah melayakkan diri ke perlawanan akhir pada kejohanan berkenaan apabila diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Fiji, Oman dan Bangladesh.

Kumpulan B pula terdiri daripada China, Mesir, Sri Lanka dan Ghana. Dua pasukan yang beraksi di pentas akhir akan layak ke Pusingan Ketiga Liga Hoki Dunia, yang bakal menjadi medan bagi merebut tempat ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India.

-Bernama

Lihat Komen