Keputusan mengejut diambil Luis Enrique untuk tidak membimbing Barcelona pada musim depan menyaksikan kelab gergasi Sepanyol itu bakal kehilangan seorang jurulatih hebat.
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui dia juga terkejut dengan pengumuman Enrique untuk berundur daripada Barcelona pada akhir musim ini.
Selepas Lionel Messi dan rakan-rakan membelasah Sporting Gijon 6-1, awal pagi tadi, Enrique menegaskan dia tidak akan menyambung kontrak yang berakhir pada 30 Jun akan datang.
"Saya tidak akan berada di Barcelona musim depan. Ini merupakan satu keputusan sulit dan memerlukan tempoh yang lama untuk memikirkannya," kata jurulatih kelahiran Sepanyol itu.
Ketika berita itu sampai kepada Guardiola, dia mengakui betapa ruginya Barcelona dengan kehilangan sentuhan bekas rakan sepasukannya itu.
"Sebagai peminat Barcelona, saya sedih kerana kita akan kehilangan watak yang sempurna bagi kelab tersebut.
"Saya kata begitu kerana keperibadian dan karekternya (Enrique). Dia adalah watak hebat sejak bergelar pemain lagi," kata Guardiola yang pernah membimbing Barcelona pada 2008 hingga 2012.
Malah, Guardiola dan Enrique pernah bermain bersama untuk Barcelona pada 1996 hingga 2001.
Guardiola kemudiannya berpindah ke Brescia, manakala Enrique terus bermain untuk Barcelona hingga 2004 sebelum kedua-dua mereka menyandang kerusi pengurus kelab itu dengan pelbagai rekod cemerlang.
Bagaimanapun, Guardiola seperti memahami keputusan yang dibuat Enrique itu.
"Sebagai seorang jurulatih, saya memahami keputusannya dan mendoakan kejayaannya," jelasnya.
Luis Enrique has announced he will not continue as manager next season pic.twitter.com/GX47mTB8Ki
— FC Barcelona (@FCBarcelona) 2 March 2017