malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Chong Wei buru gelaran kedua Anugerah SAM-100 PLUS
ADS

Jaguh badminton negara dan pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei memburu gelaran kedua Anugerah Persatuan
Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 PLUS yang akan berlangsung di Kuala Lumpur esok.

Chong Wei, pemenang pingat perak temasya Olimpik buat kali ketiga berturut-turut, bagaimanapun terpaksa bersaing dengan enam lagi calon yang mengharumkan nama negara bagi merebut Anugerah Atlet Terbaik 2016.

Pemain kelahiran Perak berusia 34 tahun itu berdepan saingan sengit pemenang pingat temasya Olimpik yang lain antaranya pemenang Anugerah Atlet Terbaik tiga kali Pandelela Rinong Pamg, ratu terjun negara yang bergandingan dengan Cheong Jun Hoong (terjun); dan beregu badminton Goh V Shem-Tan Wee Kion.

Turut tercalon ialah Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (badminton) dan Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal).

Perebutan bagi anugerah tertinggi itu bukan sahaja melibatkan saingan antara pemenang pingat Sukan Olimpik malah turut membabitkan jaguh hatrik silat dunia Mohd Al-Jufferi Jamari dan pelumba motosikal Khairul Idham Pawi.

Pelumba berusia 18 tahun itu yang mewakili pasukan Idemitsu Honda Team Asia melakar kejutan dalam penampilan sulung beliau apabila memenangi dua perlumbaan kelas Moto3 di Argentina dan Jerman tahun lepas.

Sementara itu, Presiden SAM Ahmad Khawari Isa berkata seperti edisi sebelumnya, adalah sukar untuk memilih calon yang disenaraikan dan banyak faktor perlu dipertimbangkan untuk memilih pemenang.

"Tetapi sekarang terserah kepada anggota-anggota SAM untuk memilih calon yang pada pertimbangan mereka memberi impak besar pada sukan di Malaysia tahun lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, SAM buat julung kalinya pada majlis anugerah kali ini turut memperkenalkan Anugerah Atlet Paralimpik Terbaik bagi menghargai pengorbanan mereka dalam mengharumkan nama negara.

Persaingan untuk anugerah sulung itu membabitkan tiga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio de Janeiro iaitu Mohd Ridzuan Mohd Puzi (100 meter), Abdul Latif Romly (lompat jauh) dan Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru).

Pemenang untuk kedua-dua anugerah ini akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan sebuah trofi.

Selain memberi pengiktirafan kepada atlet yang mengharumkan nama negara, wartawan sukan juga berpeluang memenangi hadiah wang berjumlah RM50,000 melalui Anugerah Sukan SAM-100PLUS kali ini.

Anugerah berkenaan terbahagi kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik. -Bernama

Lihat Komen