malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

Westports Malaysia Dragons kalah dalam pertemuan ketiga berdepan Hong Kong Eastern Long Lions dengan perbezaan tiga mata, 85-88, di Cyberjaya, malam tadi.

Kemenangan Lions di musim awal Liga Bola Keranjang Asean (ABL) ini mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas dalam liga di hadapan Singapore Slingers manakala Dragons pula kekal di kedudukan tercorot.

Pemain kebangsaan Malaysia, Ivan Yeo yang baru berusia 23 tahun memberikan prestasi terbaik dalam kariernya sejak musim kedua ini dengan jaringan 8 mata dan 17 rebound.

Ivan yang juga berasal dari Kelantan telah mewakili negara dalam arena bola keranjang sejak umur 16 tahun dan dia merasakan kekalahan ini cukup perit dalam usaha Dragons untuk memenangi perlawanan.

"Ini adalah kekalahan yang agak perit buat saya. Kita hampiri kemenangan pada saat-saat akhir tetapi kesilapan saya merugikan Dragons untuk mengalahkan Lions.

"Saya amat berbesar hati dan terima kasih kepada jurulatih kami, Christopher Thomas dan pengurus Dragons, Yakub Hussaini kerana memberikan kepercayaan dan harapan yang tinggi kepada saya dan ramai lagi pemain tempatan.

"Saya percaya, kami akan kembali menebus kekalahan kami pada 3 Mac nanti," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Kiwi Gardner menjaringkan 33 mata, 7 assist dan 5 rebound manakala Wong Yi Hou dan Skylar Spencer masing-masing menyumbang 14 dan 13 mata.

Kawalan baik pada awal separuh masa pertama

Dalam suku pertama, Dragons tampil agak gopoh dan memberikan kelebihan kepada Lions pada lima minit pertama perlawanan. Pasukan dari Hong Kong itu menjaringkan 7-2, melalui Josh Boone and Marcus Elliot.

Namun, kembali selepas time-out, Dragons akhirnya dapat menembusi zon pertahanan pasukan lawan.

Ma Chee Kheun, Kuek Tian Yuan dan Kiwi Gardner mula membolosi gawang Lions dengan jaringan tiga mata. Dragons mengakhiri minit terakhir dengan lima pemain tempatan: Ivan Yeo, Teo Kok Hou, Ma Chee Kheun, Kuek Tian Yuan dan Wong Yi Hou yang juga tampak lebih bersedia menghadapi pemain import Lions.

Pasukan Malaysia lengkapkan suku pertama dengan satu mata di hadapan Lions, 26-25.

Dragons semakin mantap dalam suku kedua dan walaupun Joshua Munzon belum mendapat apa-apa jaring daripada lapan percubaan sebelum menjaringkan mata buat Dragons beberapa minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Sungguh pun Dragons mempunyai kelebihan sebanyak lapan mata dalam minit terakhir, 44-36, Lions pantas merobek pertahanan rapuh Dragons untuk menamatkan suku kedua dengan jaringan enam mata dari Lee Ki dan Lau Tsz Lai di akhir suku, 44-42.

'Sumpahan' suku ketiga menjelma semula

Pada mulanya, Dragons dilihat seperti ditimpa 'sumpahan' suku ketiga apabila Lions kembali menguasai gelanggang. Mereka kembali di hadapan dengan tujuh mata pada minit kelima, 50-57.

Berkat semangat tidak mengalah, Dragons sempat mengurangkan defisit mata hasil jaringan tiga mata dan lay-up pada dua minit terakhir suku ketiga daripada Kiwi Gardner, 62-64.

Ketiadaan Skylar Spencer susulan melakukan kesilapan merumitkan pertahanan Dragons menghadapi asakan Lions.

Stephen Guinchard dari Lions berjaya meraih jaringan tiga mata dan dua mata hasil daripada lay-up pada saat-saat akhir penghujung suku ini dengan Dragons ketinggalan empat mata, 64-68.

Ketinggalan sejauh 10 mata dalam suku keempat seolah-olah tidak menunjukkan peluang untuk Dragons untuk mengambil kembali penguasaan dari tangan Lions.

Pemain tempatan belum sedia hadapi detik genting

Ketua jurulatih Dragons Christopher Thomas menyifatkan perlawanan dengan Lions ini seolah-olah sudah di dalam genggaman tangannya, tetapi terlepas begitu sahaja dalam saat terakhir.

"Apa yang berlaku dalam perlawanan malam ini menyimpulkan prestasi dan kedudukan pasukan untuk musim ini.

"Para pemain sebenarnya telah menyempurnakan strategi yang telah diajar dan saya belum yakin apabila detik-detik penting, terutamanya pemain tempatan.

"Dragons terlalu cemas apabila mereka sepatutnya menaikkan taraf kualiti prestasi dan disiplin. Mereka masih perlu 'menamatkan' setiap suku dalam tangan mereka, bukan setakat melakukan pertahanan yang baik sahaja," kata Thomas.

"Saya percaya mereka akan bersedia untuk Sukan SEA nanti, saya yakin arena bola keranjang akan melihat prestasi yang positif untuk masa hadapan. Suatu perjalanan yang mudah dan tiada halangan tidak akan membawa apa-apa hala tuju kejayaan," tambahnya.

Malaysia Dragons sekali lagi akan bertemu Lions pada 3 Mac depan di gelanggang sama.
 

Lihat Komen