malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

Westports Malaysia Dragons awalnya tampil menguasai perlawanan, namun gagal menandingi Saigon Heat pada separuh masa kedua sekali gus tewas dengan keputusan 84-95, dalam aksi memdebarkan malam tadi.

Kekalahan kali ini sekali gus memberi bayangan Dragons kemungkinan besar tidak layak ke perlawanan play-off.

"Kejayaan tidak sepatutnya menjadi halangan, sebaliknya patut menjadi faktor motivasi.

"Apabila pelan dan strategi mula berhasil, ia patut memberi motivasi kepada pemain untuk melakukan perkara yang betul," kata ketua jurulatih Dragons, Christopher Thomas.

"Sebagai seorang pemain, anda menang dengan sikap yang baik, bukan sahaja bakat. Inilah keperluan dalam mana-mana sukan.

"Kami masih dalam proses dalam mencari jalan (penyelesaian) untuk pasukan walaupun selepas 14 perlawanan dalam liga.

"Kami belum lagi mengalah, Dragons perlu menang dengan 'sikap' yang betul," tambahnya.

Kiwi Gardner mendapat 25 mata, 6 rebound, 5 assist manakala Skylar Spencer dan Joshua Munzon menjaringkan 20 dan 16 mata.

Pemain tempatan Ivan Yeo dan Kuek Tian Yuan masing-masing menyumbang tujuh dan lapan mata.

Dragons pada mulanya mudah melakukan jaringan dengan mengutip 12 mata pada lima minit yang pertama sebelum waktu time out.

Namun, gandingan Lenny Daniel, David Arnold dan Moses Morgan mengejar kembali defisit mata dalam satu minit sahaja dengan jaringan lapan mata.

Pemain Dragons, Kiwi Gardner cuba mengembalikan penguasaan wakil Malaysia itu dalam minit terakhir suku pertama selepas beberapa jaringan.

Namun, Heat melalui pemainnya, Arnold berjaya menyamakan kedudukan selepas jaringan tiga mata pada buzzer masa suku pertama, Dragons terikat 22 mata dengan Heat.

Kesilapan kecil

Suku kedua pula 'ditelan' dengan pelbagai kesilapan kecil yang merugikan peluang Dragons untuk menjarakkan pungutan mata dari wakil Vietnam itu.

Heat pula masih mencari peluang untuk mengekang serangan daripada Dragons, khususnya dari Joshua Munzon dan Kiwi Gardner. Acap kali juga apabila Ivan Yeo terlepas lontarannya di jaring, Skylar Spencer dapat mengembalikannya untuk pungutan mata.

Sebelum tamat separuh masa pertama pada 30 saat terakhir, Ivan Yeo cuba mendapatkan buzzer beater tetapi tidak kesampaian. Dragons hanya ketinggalan satu mata di belakang Heat, 47-48.

Masalah suku ketiga kembali menghantui Dragons lagi dalam perlawanan ini. Dragons hanya meraih dua mata daripada 14 percubaan.
Heat semakin menjauhi Dragons dalam suku ini dan berada 10 mata di hadapan, manakala pada akhir suku ketiga, Dragons tetap ketinggalan dengan enam mata.

Peratusan jaringan untuk Dragons semakin merosot dari 45 peratus ke 37 peratus dalam suku ketiga, manakala Heat pula kukuh dengan 54 peratus dari 48 peratus.

Dragons tidak mampu kembali merampas penguasaan dari tangan Heat dalam suku keempat. Dengan saingan semakin sengit, beberapa kali berlaku sedikit pergelutan antara pemain Dragons, Joshua Munzon dengan pemain Heat, Lenny Daniel.

Walaupun pertengahan suku terakhir ini, pasukan Malaysia terpaksa akur dengan banyak kesilapan dalam aspek jaringan dan pertahanan.

"Kita perlu berubah dari 12 pemain kepada sebuah kumpulan. Saya percaya Dragons boleh menjadi lebih baik.

"Walaupun kini lebih susah untuk layak ke play-off dan bakal bertemu Hong Kong pada Ahad ini, tidak mustahil untuk Dragons mengalahkan mereka," kata Thomas.

Malaysia Dragons akan bertemu pasukan teratas liga, Hong Kong Eastern Long Lions, esok di Gem in Mall, Cyberjaya.

Lihat Komen