malaysiakini logo
story-image
ADS

Juara Divisyen Perdana Liga Hoki Malaysia (MHL) 2017, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) menarik nafas lega setelah layak ke final Piala TNB dengan menundukkan pasukan Tenaga Nasional Bhd (TNB) 2-1 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Hoki Tun Razak, malam ini, menerusi penentuan pukulan penalti.

Penentuan menerusi pukulan penalti dilakukan selepas tamat perlawanan kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 2-2 apabila TNB menang 2-1 pada perlawanan malam ini sementara KLHC menang tipis 1-0 pada perlawanan separuh akhir pertama, kelmarin.

Roslan Jamaluddin muncul wira apabila bertindak cemerlang menyelamatkan tiga daripada lima percubaan pada penentuan penalti untuk menghidupkan peluang KLHC memburu kejuaraan kedua pada musim ini.

KLHC yang turun berbekalkan kelebihan satu gol bagaimanapun dikejutkan dengan gol pertama TNB seawal minit ke-12 menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad.

Tersentak dengan jaringan pembukaan itu, KLHC bangkit melancarkan serangan, namun kekebalan benteng pertahanan TNB yang diketuai penjaga gawang, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan menidakkan peluang lawan mereka.

KLHC bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-37 menerusi pukulan sudut penalti oleh Muhammad Razie Abdul Rahim, namun kesilapan pertahanan KLHC membawa padah, apabila TNB dihadiahkan pukulan penalti yang disempurnakan dengan tenang oleh Muhammad Azammi Adabi pada minit ke-41.

Pada satu lagi pertembungan separuh akhir kedua, juara Piala Sumbangsih, Pasukan Hoki Terengganu (THT) menepati ramalan ke final selepas mecatatkan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Meskipun perlawanan yang dijadual bermula pukul 6 petang itu terpaksa ditunda ke pukul 10 malam akibat hujan lebat dan petir, ia sedikit tidak menjejaskan rentak permainan THT yang berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi jaringan padang oleh Valentin Verga.

THT kemudian melebarkan jurang jaringan menerusi dua gol jaringan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Azlan Mirson pada minit ke-15 dan Muhammad Firhan Ashaari (minit ke-23) untuk meletakkan THT 3-0 selesa mendahului.

Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil menambah derita pasukan UniKL apabila menjaringkan gol keempat THT pada minit ke-35 menerusi jaringan padang sekali gus mengesahkan kemenangan THT dengan keputusan agregat 8-4.

Sementara itu, Ketua Jurulatih KLHC, Muhammad Harun Alrashid Samri menyifatkan setiap pertembungan antara pasukannya dan pasukan TNB merupakan satu perlawanan yang sukar, namun memuji penjaga gawangnya, Roslan yang bijak membaca gerakan pemain pada penentuan pukulan penalti.

"Memang setiap perlawanan menentang TNB pada tahun ini merupakan satu perlawanan yang sukar. Jika dilihat di atas kertas, memang semua orang akan lihat kelebihan kepada pasukan kami tetapi hakikatnya TNB juga merupakan satu pasukan yang hebat.

"Apabila melibatkan penentuan pukulan penalti, peluang untuk menang adalah 50-50 tetapi saya ingin memuji Roslan (penjaga gol) kerana bijak membaca gerakan lawan untuk menyelamatkan tiga pukulan penalti," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Kuala Lumpur, hari ini.

KLHC akan menentang THT yang merupakan juara bertahan pada aksi final yang dijadual berlangsung pada Ahad.

-Bernama

Lihat Komen