malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Rancangan untuk FAM? Ada, sabarlah dulu..
Diterbitkan:  Feb 23, 2017 4:17 PM
Dikemaskini: 8:42 AM
ADS

"Ada yang tanya apakah saya tak ada perancangan untuk FAM? Ada, cuma sabar-sabarlah dulu.." kata calon presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa.

Menulis di Facebook, penasihat kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu memberikan tujuh kerangka besar perubahan yang diingin dibawa dalam FAM, tetapi butiran terpeinci akan dijelaskan bulan depan.

Tujuh kerangka besar itu adalah menjadikan bola sepak agenda nasional seiring dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50), menggubal blue print 30 tahun 'Malaysia Dare To Dream 2050', memperkasa badan gabungan FAM, membebaskan rasuah, dan apa yang disebutnya sebagai 'FAM Inc'.

Sementara itu dalam catatan yang lain, Annuar mengulas mengenai calon-calon jawatan tertinggi FAM yang kini sudah memulakan kempen mereka.

"Ada yang mendapatkan sokongan daripada kalangan bukan perwakilan. Ada yang dapat sokongan daripada orang politik. Begitulah realitinya..tidak salah," kata Annuar.

Bagaimanapun katanya, beliau sendiri belum memulakan kempen kerana mahu memberi perhatian terhadap ibadah umrah di Makkah terlebih dahulu.

"Saya belum berhasrat untuk berkempen. Tumpuan saya adalah kepada ibadat umrah bersama imam-imam kawasan saya. Bolasepak...tenang-tenang saja, Insyaalah!" katanya.

Kelmarin- pesaing Annuar bagi kerusi panas itu - Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi berbincang mengenai visi dan misi dalam merebut jawatan presiden FAM.

Ketika sidang media semalam, Tunku Ismail berkata perdana menteri turut merasa 'terdesak' untuk melihat perubahan terhadap pasukan bola sepak negara.

Menurut Tunku Ismail, beliau mahu melakukan perubahan dalam FAM bagi memastikan suara penyokong sentiasa didengari oleh pimpinan tertinggi badan itu.

"Saya pun macam anda juga (tak puas hati struktur FAM). Banyak suara penyokong yang tak dapat disampaikan pada pemimpin tertinggi FAM.

"(Sekiranya jadi presiden), setiap tiga bulan penyokong bebas untuk bercakap apa hala tuju bola sepak. Saya pun dahagakan perubahan juga sama seperti awak semua," katanya kepada wartawan.

Lihat Komen